Konspirasi: Percubaan berani, ‘kurang bebas’ Ghaz Abu Bakar

Filem Konspirasi arahan Ghaz Abu Bakar terus mencuri perhatian penonton Malaysia sejak tayangan perdana pada 21 Mei lalu.

Naskhah aksi thriller ini membawa tema rasuah, jenayah siber dan pengkhianatan politik dengan cara yang berani.

Cerita bermula dengan pasukan elit Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diketuai Adli, diperankan Datuk Adi Putra ditugaskan rampas pelayan rahsia.

Aksi pembukaan filem ini penuh dengan ketegangan tinggi dan adegan serbuan yang dirakam mantap.
Adi Putra memberikan persembahan konkrit, membawa watak ketua pasukan yang tegas dan penuh prinsip.

MENJADI! Alicia Amin menambah dimensi emosi yang kuat dalam setiap babak yang dijayakannya.

Terjemahan karakter

Dari segi terjemahan karakter, kesemua pelakon berjaya melaksanakan amanah masing-masing dengan sempurna. Hisyam Hamid berjaya menyuntik tenaga segar ke dalam kumpulan elit tersebut.

Alicia Amin pula menambah dimensi emosi yang kuat dalam setiap babak yang dijayakannya.

Shiqin Kamal mencuri tumpuan dengan watak misteri yang buat penonton terus berteka-teki.

Penceritaan filem cuba menggabungkan aksi lasak, drama politik dan elemen teknologi siber. Kadangkala plot terasa agak padat dengan terlalu banyak maklumat teknikal.

Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam visual ada yang memberi kesan premium tetapi tidak konsisten sepanjang filem. Itu adalah antara kelemahan yang ketara dalam Konspirasi.

Mesej anti-rasuah disampaikan dengan jelas dan tanpa kompromi oleh Ghaz Abu Bakar. Pacing separuh pertama filem sangat laju dan memukau penonton dari awal hingga pertengahan.

Adegan kejar-mengejar di jalan raya Kuala Lumpur penuh adrenalin dan menghiburkan sementelah dialog-dialog patriotik kuat tapi sesetengahnya terdengar agak klise dan mudah dijangka.

KARAKTER villain dijayakan cukup cemerlang oleh Amir Nafis dalam Konspirasi.

Kelemahan

Buat penulis secara peribadi, putar belit plot (plot twist) di bahagian kedua datang bertubi-tubi sehingga buat cerita agak goyah. Bunyi latar dan muzik latar belakang berjaya tingkatkan ketegangan sepanjang tayangan.

Filem berdurasi lebih kurang dua jam ini paling sesuai ditonton di panggung besar. Ghaz selaku pengarah berjaya mengangkat isu sensitif negara tanpa takut kontroversi. Bagaimanapun, tidak banyak perihal yang boleh dibanggakan dari segi jalan cerita

Kelemahan paling ketara adalah penutup yang terasa tergesa-gesa dan kurang memuaskan.

Walaupun ada kekurangan, filem ini tetap satu usaha terbaik dalam genre aksi thriller tempatan.

Penonton besar kemungkinan pasti akan keluar pawagam dengan rasa puas hati secara keseluruhan.

Visual keseluruhan filem bagai campur aduk antara yang canggih dan biasa-biasa saja. Sinergi antara pelakon utama cukup baik dan buat cerita lebih mudah diikuti oleh audiens. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok