Dapat ‘hadiah’ daripada isteri, air mata Yusry gugur

MENERIMA ‘hadiah’ daripada isteri, pelakon Datuk Yusry Abdul Halim mengalirkan air mata sebaik mendengar ucapan Datin Lisa Surihani atas penerimaan ramai terhadap wataknya dalam drama Dendam Seorang Mentua.

Yusry yang hadir sebagai tetamu sebuah stesen radio bersama pelakon lain tidak dapat menahan sebak sebaik dikejutkan dengan rakaman suara belahan jiwanya itu yang kini di Tanah Suci mengerjakan haji.

“Assalamualaikum. Sayang, ini adalah hadiah untuk awak. Mereka minta saya bagi ucapan sempena penglibatan untuk watak Datuk Muzzaffar dalam drama Dendam Seorang Mentua.

“Pertama sekali tahniah untuk awak dan pasukan. Saya selalu sokong awak, awak buat dengan sangat baik, Masya-Allah. Doa saya untuk awak, semoga Allah pelihara setiap langkah awak pergi dan balik mencari rezeki untuk kami sekeluarga.

Semoga Allah permudahkan segala urusan awak dalam apa juga yang dilakukan dan semoga Allah makbulkan setiap doa awak. Sebagai isteri, saya tumpang gembira dan bangga dengan awak,” katanya menerusi video dikongsikan di Instagram.

Yusry yang awalnya tampak terkejut beberapa kali dilihat menyeka air mata sambil mendengar ucapan manis insan kesayangannya dengan tekun.

Dalam ucapan tersebut, Lisa turut mendoakan agar perjalanan suaminya mencari rezeki buat keluarga sentiasa dipermudahkan.

Malah pelakon terbabit juga mendedahkan walaupun mereka terpisah seketika, dia dan Yusry berhubung setiap hari bagi bertanyakan keadaan masing-masing.

Semoga kejayaan daripada drama ini membuka pintu rezeki yang baik-baik dan halal untuk kita sekeluarga.

“Kami sebenarnya bercakap setiap hari walaupun berjauhan. Kami berdua selalu berkata sesama sendiri kami sangat bersyukur. Alhamdulillah,” ujarnya.

Terdahulu, Yusry tidak dapat menyertai suri hatinya mengerjakan haji berikutan permohonan visanya yang tidak mendapat kelulusan.

Ketiadaan Lisa juga membuatkan bapa kepada tiga cahaya mata itu kerap meluahkan kerinduan terhadap isterinya yang berada di Mekah sejak 7 Mei lalu.

Malah Yusry yang meraih pujian penonton atas penjiwaan watak dalam Dendam Seorang Mentua itu pernah menzahirkan perasaan sayu apabila tidak dapat berkongsi kegembiraan dengan Lisa atas kejayaan menggalas karakter itu selepas lama tidak berlakon. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok