PENYANYI sensasi, Miley Cyrus tidak dapat menahan sebak ketika menerima penghormatan bintang di Hollywood Walk of Fame di Hollywood Boulevard pada hujung minggu lalu.
Bekas bintang siri popular Hannah Montana itu dilihat mengalirkan air mata ketika menyampaikan ucapan penghargaan buat keluarga dan insan yang sentiasa di sisinya.
Miley yang ditemani ibunya, Tish Cyrus serta tunangnya, Maxx Morando mengaitkan penghormatan diterimanya dengan single terbaharu berjudul Walk of Fame yang memuatkan lirik berbunyi ‘you’ll live forever’.
Dalam ucapan penuh emosi, Miley menyifatkan penghargaan diraih melambangkan keabadian, namun hakikat hidup tidak akan kekal membuatkan dirinya lebih bersemangat berkarya.
Menurut penyanyi lagu Wrecking Ball itu, penghormatan di Hollywood Walk of Fame bukan sesuatu yang hadir dalam sekelip mata, sebaliknya hasil dedikasi dan kerja keras yang panjang.
Sebuah bintang bukan hadiah bermusim yang boleh dimenangi atau dikumpul sesuka hati,” ujarnya.
Tambah penyanyi berusia 33 tahun itu, penghormatan itu akan menjadi kenangan bermakna dalam hidupnya
“Kepada semua keluarga, keluarga pada masa depan, sahabat dan semua kolaborator, terima kasih,” ucapnya. – HIBGLAM
