‘Zaman saya sudah berlalu, kena terima hakikat’

DUNIA seni hakikatnya sebuah putaran nasib. Hari ini dipuja setinggi langit, esok mungkin sekadar nama dalam lipatan sejarah. 

Pendek kata, ada hakikat pahit perlu ditelan setiap anak seni, kegemilangan tidak pernah kekal selamanya.

Tidak lagi berada di puncak populariti seperti dahulu, pengarah dan penerbit Aziz M. Osman mengakui kitaran karier dalam industri perfileman perlu diterima dengan hati terbuka.

Ujar Aziz, setiap anak seni pasti melalui fasa naik dan turun, termasuk dirinya yang kini melihat tarikan terhadap karya tidak lagi sekuat dahulu.

“Setiap orang akan sampai satu tahap apabila mereka dikenali, tetapi ‘bahannya’ sudah tidak lagi menjadi. Orang kata sekadar gimik atau flavour of the day.

“Ramai pengarah melalui perkara sama. Tan Sri P. Ramlee pun pernah berada di fasa itu. Di penghujung kariernya, tarikan terhadap karya beliau semakin berkurangan.

“Perkara sama berlaku kepada saya sekarang. Bukan saya kata filem terakhir saya gagal, tetapi nama atau jenama itu sudah tidak lagi menarik orang ke pawagam,” katanya kepada HibGlam.

Menurut pengarah filem Puteri Impian itu, fenomena tersebut bukan asing, malah turut berlaku dalam industri antarabangsa.

Di Hollywood, pengarah hebat seperti Frank Darabont dan Joel Coen juga melalui fasa perubahan apabila beralih ke platform penstriman.

“Jadi saya perlu terima hakikat ini. Alhamdulillah, saya masih diperlukan, cuma posisi sekarang lebih kepada depan kamera berbanding belakang tabir,” ujarnya.

Dalam masa sama, Pengarah Terbaik Anugerah Skrin 1997/98 itu turut mengakui perubahan selera penonton hari ini jauh lebih tinggi berbanding era lalu sehingga menuntut pembikin filem memberi perhatian kepada setiap aspek penerbitan.

Baginya, perkembangan positif tersebut membuatkan dirinya berasa perjuangan lama kini sudah mencapai matlamat.

“Penonton sekarang tidak lagi berkompromi soal kualiti. Dulu, filem sederhana pun boleh diterima asalkan ada pelakon popular. Sekarang semuanya perlu berada pada tahap terbaik. 

“Production value mesti tinggi, disiplin kerja juga lebih profesional. Bagi saya, perjuangan itu seolah-olah sudah selesai kerana apa yang dulu saya perjuangkan kini sudah dipraktikkan dalam industri.

“Saya boleh ‘relaks’ sedikit dan tidak mahu membazirkan tenaga serta wang orang lain,” jelasnya. 

Mengulas lanjut, anak seni berusia 63 tahun itu mengakui tidak lagi meletakkan nama sendiri sebagai tarikan utama untuk memancing penonton ke pawagam.

“Nama Aziz M. Osman mungkin tidak lagi menjamin kepuasan 100 peratus. Lebih baik saya cakap jujur daripada orang anggap saya syok sendiri.

Zaman saya sudah berlalu, tetapi saya bangga dengan legasi seperti Senario The Movie, XX-Ray dan Puteri Impian,” ungkapnya. 

Paling penting, dia turut meluahkan rasa kagum terhadap pencapaian pembikin filem generasi baharu yang berjaya mencipta fenomena tersendiri.

“Saya kagum apabila filem tempatan sekarang mampu mencatat kutipan lebih tinggi berbanding filem Hollywood.

“Pembikin filem muda bersaing sesama sendiri untuk hasilkan karya lebih berkualiti. Penonton pula semakin bijak menilai, mereka tahu mana filem berkualiti dan mana sekadar cincai,” tuturnya. 

Sebelum ini, beberapa nama besar termasuk Aziz sendiri, Ahmad Idham serta Pierre Andre sering dikaitkan dengan dakwaan ‘hilang taring’ susulan karya terbaharu mereka kurang mendapat sambutan.

Namun bagi Aziz, setiap fasa punya cerita tersendiri. Jika dahulu berdiri sebagai raja layar perak, hari ini dia memilih menjadi saksi, melihat generasi baharu meneruskan perjuangan seni dengan nafas segar dan semangat baharu.

Dalam perkembangan lain, Aziz kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem aksi terbaharu terbitan Astro Shaw berjudul  HAK: Tuntut atau Tunduk dengan memegang watak sebagai pengurus pasar.

Naskhah arahan Ezrie Gazali itu memaparkan kisah survival masyarakat bandar mendepani tekanan ekonomi.

 

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok