Doakan saya mendapat jodoh yang terbaik, membahagiakan, setia, beriman dan menyayangi anak saya Fatima.”
Demikian respons aktres Nur Fazura apabila ramai yang mendoakannya dikurniakan pasangan untuk kembali bergelar isteri satu hari nanti.
Menurut Fazura, 42, dia berharap diberikan rezeki untuk memiliki pasangan yang mampu membawa kebahagiaan kepada dirinya dan Fatima.
“Semoga mendapat jodoh yang Fatima juga restu dan diredai Allah SWT. Itu yang paling penting.
“Sebab kadang-kadang ada yang cakap saya sesuai dengan VVIP, bukan dalam industri, sesuai dengan orang ini orang itu,” katanya dalam sebuah video.
Ujarnya, dia menyerahkan sepenuhnya segala urusan berkaitan jodoh kepada Tuhan kerana yakin setiap perkara sudah diatur terbaik buat dirinya.
“Tapi kadang-kadang yang kita rasa terbaik namun rancangan Allah — adakah kita nak pilih ataupun mahu Allah yang pilih?
“Memanglah kalau dapat yang orang kata yang ada segala-galanya seperti beriman, semua itu bonuslah.
“Tapi kalau mereka tak dapat bahagiakan saya, macam mana nak buat?” katanya lagi.
Tambah Fazura, dia menerima setiap ketentuan dengan hati terbuka termasuk sekiranya hubungan dengan orang yang dikenalinya tidak berakhir indah.
Bukan tak ada yang mendekati saya sebelum ini. Ada dalam kalangan-kalangan saya juga.
“Hujung-hujung kita tak tahu ketentuan Allah itu adalah yang terbaik. Jadi harap semua doakan saya.
“Andai kata ada yang mendekati, berkawan dengan saya, jika Allah kata tidak, maka tidaklah.
“Siapa kita nak menentukan? Kalau Allah kata itu yang terbaik dan siapa kita untuk melarang juga,” jelasnya.
Dalam masa sama, dia meminta khalayak terutama peminat tidak memberinya sebarang tekanan dalam urusan mencari pasangan.
Katanya, dia bimbang sekiranya tekanan yang diberikan orang ramai memberi impak kepada emosi pihak lain.
“Tenang saja, tak perlu fikir teruk sangatlah mahu dengan orang ini, orang itu, nak tekan-tekan dan tentukan, tak perlu.
“Kita semua percaya dan yakin dengan ketentuan Allah dan akan beri yang terbaik. Jadi, relaks saja, jangan bagi saya dan mana-mana pihak tekanan.
“Kita kenal-kenal hati budi dan doa yang terbaik, tenang-tenang sahaja.
“Sebab kalau beri tekanan, kadang-kadang orang itu boleh rasa nak bunuh diri, contoh,” tuturnya.
Dia juga memohon orang ramai terus mendoakan kebahagiaan dirinya tanpa perlu menentukan arah hidupnya yang Tuhan sudah aturkan.
“Saya mencari bahagia, tenang dan tenteram buat sisa-sisa hidup ini.
“Tidak perlilah sesiapa menentukan ibarat mahu menyuap kehendak sendiri dalam mulut saya.
“Allah SWT lebih mengetahui dan Maha Berkuasa ke atas segala-galanya, pasti aturan rahsia-Nya yang terbaik. Mohon doakan yang baik-baik, itu sahaja,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, nama Fazura menjadi bualan hangat netizen apabila didakwa rapat dengan aktor, Que Haidar selepas sama-sama bekerjasama untuk sebuah kempen baju raya. – HIBGLAM
