KOMPOSER, Julfekar memaklumkan anak sulungnya bersama penyanyi, Min Yasmin dijangka diletakkan dalam inkubator selama dua bulan bagi pemantauan rapi berikutan dilahirkan pramatang.
Julfekar atau nama sebenarnya, Julfekar Ahmad Shah berkata, walaupun zuriatnya itu dilahirkan dengan berat 880 gram sahaja, dia bersyukur kerana anak dan isterinya stabil dan sihat.
Anak jati kelahiran Sabah itu memaklumkan dia kini berada di Filipina bagi menyelesaikan beberapa tugasan dan akan pulang ke Sabah dalam masa terdekat.
“Sekarang saya di Filipina malahan sewaktu mendapat perkhabaran Min bersalin, saya sudah beberapa hari ada di sini (Filipina). Min pula berada di Kota Kinabalu ketika itu kerana sarat hamil.
“Pada 26 September lalu, Min buat pemeriksaan tetapi kemudian dikejarkan ke hospital kerana tekanan darah tinggi yang tidak terkawal.
“Selepas berbincang, kami bersetuju Min bersalin awal secara pembedahan kerana itu yang terbaik buatnya dan bayi dalam kandungan.
“Ikutkan hati, saya nak pulang terus ke Sabah tetapi Min minta saya selesaikan urusan kerja terlebih dahulu. Lagipun kata Min, ibu bapanya sudah tiba di Kota Kinabalu untuk menemaninya,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Terdahulu, Julfekar dan Min Yasmin diijabkabul pada 4 April 2014 di Masjid Kota Damansara yang disempurnakan oleh Penolong Pendaftar Nikah masjid berkenaan, Mohd Arip Johdi.
Selepas 10 tahun bergelar suami isteri, Min Yasmin atau nama lengkapnya Nurul Yasmin Abdul Aziz berkongsi berita gembira hamil empat bulan pada Jun lalu. – HIBGLAM