‘Bukan seram biasa tapi percubaan mencabar sempadan’

DALAM dunia perfileman tempatan, keberanian bukan sekadar retorik, sebaliknya perlu dibayar dengan risiko.

Saat banyak naskhah selamat memenuhi layar, hadir sebuah karya menggugat norma, menguji batas emosi dan ketahanan jiwa rapuh penonton.

Ada pengarah memilih jalan mudah, namun deretan juga sanggup menongkah arus demi mencipta sesuatu luar biasa biarpun berdepan kemungkinan jatuh tersungkur.

Itukah barangkali pegangan filem terbitan Metrowealth (MIG) kali ini berjudul Nar’sata: Sekutu Setan yang tampil sebagai percubaan berani dalam genre thriller gore, dengan pendekatan lebih ekstrem dan matang berbanding karya terdahulu.

Menariknya, naskhah tersebut ditulis serta diarahkan sepenuhnya Pierre Andre dengan gaya pengarahan lebih keras, menggabungkan elemen psikologi, spiritual dan gore dalam penceritaan gelap serta intens sekali gus diklasifikasikan 18SG.

Menurut penerbitnya, David Teo, naskhah tersebut menjadi taruhan berisiko tinggi, namun diyakini mampu memberi nafas baharu kepada landskap filem tempatan.

“Pierre bukan sekadar kreatif, tetapi memahami jiwa penonton tempatan. Itu kelebihan jarang dimiliki pengarah lain, dan sebab itu kami yakin dengan sentuhannya untuk membawa sesuatu luar kebiasaan.

“Kami mahu mengembalikan Metrowealth ke zaman kegemilangan, namun kali ini dengan pendekatan lebih segar, lebih matang dan lebih berani. Ini bukan lagi karya biasa, tetapi sebuah percubaan mencabar sempadan,” katanya kepada HibGlam.

PIERE Andre meletakkan harapan tinggi terhadap karya seramnya kali ini.

Pierre sendiri mengakui karya kali ini antara paling mencabar dalam kariernya.

“Ini filem dengan penggunaan CGI dan kesan visual paling banyak pernah saya hasilkan. Saya jarang buat karya sebegini kerana bimbang tidak sampai kepada penonton, tetapi kali ini saya rasa sudah tiba masa untuk berani mencuba sesuatu lebih ekstrem.

“Secara asas, filem ini berkisar tentang balas dendam seorang wanita dirogol dan dibunuh, namun tidak mati. Dari situ lahir dendam membara, membawa dia kembali menuntut keadilan dengan cara gelap dan menakutkan,” ujarnya.

Lebih mengejutkan, Pierre turut meletakkan masa depan dirinya dalam genre seram terbabit sebagai pertaruhan.

“Kalau penonton sudah tidak mahu menonton karya seperti ini, mungkin saya akan berhenti menghasilkan filem genre seram.

Namun jika filem ini meletup, saya sudah ada beberapa idea untuk dikembangkan lagi. Semuanya bergantung kepada sambutan penonton.

“Kalau sebaliknya berlaku, mungkin ini menjadi karya seram terakhir saya,” jelasnya.

MENGGABUNGKAN barisan pelakon lama dan baharu, Nar’sata: Sekutu Setan bakal menjengah pawagam bermula 21 Mei ini.

Sementara itu, pelakon utama Trisha Ooi mengakui watak Balqis meninggalkan kesan emosi mendalam sehingga mengambil masa untuk pulih.

“Tiada kecederaan fizikal, tetapi untuk melepaskan watak Balqis, saya mengambil masa hampir dua minggu.

Selepas tempoh itu barulah saya rasa kembali menjadi diri sendiri. Watak ini terlalu berat sehingga memberi kesan mendalam, sampai ada ketika saya menangis sendirian tanpa sebab jelas.

“Semua sudah saya curahkan dalam watak dan naskhah itu jadi saya harap penonton akan menyokong hasil kerja kami dan meresapi alur cerita filem tersebut,” tutupnya.

Nar’sata: Sekutu Setan mengisahkan Balqis yang hidupnya musnah selepas menjadi mangsa keganasan sekumpulan lelaki. Diselamatkan oleh seorang wanita tua misteri, dia terikat dengan perjanjian ngeri, lalu membawa dirinya ke jalan dendam serta kuasa gelap.

Dipenuhi babak ganas serta elemen ‘gore’ yang berani, filem tersebut menjanjikan pengalaman tontonan intens, khusus buat peminat genre seram gelap.

Selain Trisha, filem berkenaan turut dibintangi Mawar Rashid sebagai heroin di samping Khatijah Tan, Wan Hanafi Su, Aniq Suhair dan Fadlan Hazim.

Barisan pelakon lain termasuk Khenobu, Dai Fuad dan Imranul Effendy serta diperkuatkan dengan kehadiran pelakon berpengalaman seperti Namron, Ashraf Muslim dan Vanidah Imran.

Gabungan dua figura wanita iaitu Trisha dan Mawar menjadi kekuatan utama, membawa emosi mendalam serta daya tarikan komersial kepada naskhah tersebut.

Filem penuh debar tersebut bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 21 Mei ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok