TERLALU menjiwai watak hingga memberi kesan emosi mendalam, pelakon Trisha Ooi mengakui mengambil masa hampir dua minggu untuk kembali kepada diri sebenar selepas tamat penggambaran filem seram Nar’sata: Sekutu Setan.
Ujar Trisha atau nama sebenarnya Reyshqa Aqiera Mohd. Nasron Ooi, 26, karakter Balqis bukan hanya lakonan biasa, sebaliknya meninggalkan impak psikologi sukar dilupakan.
“Tiada kecederaan fizikal, tetapi untuk melepaskan watak Balqis, saya ambil masa sekitar dua minggu.
Selepas dua minggu barulah saya rasa kembali menjadi diri sendiri. Watak ini memberi kesan sangat mendalam sampai saya boleh menangis seorang diri.
“Kadang-kadang sebelum masuk set, saya akan menangis dahulu sebab karakter ini terlalu berat,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pemenang Pelakon Wanita Harapan Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) itu, kesan watak tersebut turut mengubah rutin hariannya sehingga lebih gemar menyendiri.
“Sepanjang dua minggu itu, saya tidak boleh bergaul seperti biasa. Saya sendiri tidak sedar perubahan itu.
Pengurus saya yang tegur kenapa saya diam, tidak keluar rumah dan tidak berkongsi apa-apa di media sosial,” ujarnya pada malam gala dan sidang media filem tersebut, di sini, malam tadi.
Menurutnya, selepas menyedari perubahan tersebut, dia mula berusaha untuk kembali menjalani kehidupan normal.
Selera makan juga berkurangan, malah ketika di set pun saya kurang makan dan waktu tidur tidak menentu.
“Bila saya sedar keadaan itu, saya cuba paksa diri keluar makan dan tidak lagi duduk bersendirian di rumah,” kongsinya.
Nar’sata: Sekutu Setan terbitan Metrowealth International Group (MIG) dijadual menemui penonton bermula 21 Mei ini.
Selain Trisha, filem itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Mawar Rashid, Khatijah Tan, Wan Hanafi Su, Aniq Suhair dan Fadlan Hazim Anuwar. – HIBGLAM
