Bukan selektif, saya nak bersara perlahan-lahan – Nora Danish

HANYA sesekali muncul di layar kaca mahupun pawagam, hakikatnya pelakon Nora Danish bukan tiada tawaran, sebaliknya lebih cermat dalam pemilihan karakter.

Akuinya, sikap cerewet sebelum menyatakan persetujuan tidak bermaksud dia sudah cukup bagus tetapi lebih kepada persediaan untuk bersara secara perlahan-lahan.

Justeru, sebelum mengundurkan diri daripada arena lakonan Nora atau nama lengkapnya Nora Mohd. Danish Hanif, 44, mahu meninggalkan momen diingati ramai tanpa mengira selaku tunjang utama mahupun karakter sampingan.

Sebenarnya saya kini dalam proses mahu bersara secara perlahan-lahan kerana sudah berumur. Saya tak pernah hadkan karakter, cuma selepas lebih 20 tahun dalam industri saya nak watak yang ada impak.

“Sekarang saya tengok keseluruhan naskhah, kalau cerita hebat kita dah tahu karakter kita macam mana, boleh jadi macam serbuk perasa. Bagi warna serta rasa.

“Sebenarnya bukan sekarang pun, lima ke enam tahun lepas saya memang minta peranan sampingan kerana pentingkan karakter berbanding teraju utama,” katanya ketika ditemui HibGlam pada majlis tayangan perdana telefilem UTV Original, Poskad Cinta Dari Istanbul.

Begitupun, akui Nora yang membawakan peranan penyondol dalam naskhah menggandingkan Fattah Amin dan Amira Othman, dia tidak meletakkan sebarang tempoh untuk bersara.

Katanya, semua keputusan bergantung pada situasi semasa terutama jika bertemu jodoh dengan pasangan yang memintanya menumpukan perhatian terhadap keluarga.

“Segala-galanya bergantung pada keadaan. Susah juga nak cakap sebab sebab jiwa saya pun masih muda. Tengok macam mana nanti, kena tengok karya dan watak.

Apa pun bukan dalam tempoh lima tahun terdekatlah. Saya tak tahu. Mungkin setahun dua lagi Allah temukan jodoh, kalau suami saya tak setuju, saya berhentilah (berlakon).

“Terpulang pada keadaan dan takdir Allah. Tengok juga apa suami kita nak. Kita pula isteri yang baik macam mana pula kan? Kita ikut sahaja. Cuma masalahnya sekarang saya masih solo, tiada kekasih pun,” selorohnya.

Wanita pelat

Mengenai watak dalam Poskad Cinta Dari Istanbul, Nora mengakui teruja apabila dapat bereksperimentasi sebagai wanita pelat iaitu Effa juga bekas kekasih kepada Din lakonan Fattah.

“Saya sudah biasa bawa watak seperti Effa yang manja tetapi dalam kisah ini Effa sedikit antagonis dan saya berbincang dengan pengarah untuk tampil berbeza.

Daripada situ timbul idea untuk ketengahkan keunikan Effa. Apa pun bukan kita nak permainkan individu seperti Effa, sebaliknya tunjukkan setiap insan punya keistimewaan tersendiri,” katanya.

Pada masa sama Nora juga berasa bertuah digandingkan dengan Bell Ngasri dan Sherry Alhadad yang menjadikan penggambaran di Istanbul, Turkiye lebih menyeronokkan.

“Waktu itu musim sejuk, memang kami bertarung dengan cuaca tetapi keseluruhan pasukan terutama pelakon lain yang ‘memberi’ buatkan penggambaran berjalan lancar.

“Selain cuaca sejuk sampai ke tulang hitam, sikap lucu serta gila-gila Bell dan Sherry yang saya paling tak tahan. Asyik ketawa sahaja, sangat terhibur,” ujarnya lagi mengenai pengalaman ketika penggambaran telefilem yang kini hangat bersiaran di platform penstriman UTV. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok