Berlakon filem selepas 8 tahun, ‘ini pencapaian besar’ – Alya Iman

MUNCUL di layar perak hanya selepas lapan tahun bergelar pelakon, Alya Iman sebak terkenang arwah ibu bapanya yang tidak dapat melihat filem pertamanya, Pewaris Susuk.

Alya atau nama lengkapnya Nur Alya Iman Azmil, 25, berkata kerinduan terhadap kedua-dua orang tuanya, Allahyarham Azmil Mustapha dan Jamaliah Jamari yang berbaur dengan rasa hiba membuatkan dirinya beremosi.

“Tentu sahaja saya sebak melihat diri sendiri di skrin besar buat kali pertama selepas menunggu selama lapan tahun. Agak beremosi berada di momen begini.

“Mungkin pada orang lain tiada apa-apa, tapi untuk saya dapat kepercayaan muncul di layar perak merupakan pencapaian besar.

“Saya juga berharap ibu bapa saya ada di sini pada majlis tayangan perdana ini. Apa pun saya selalu ingatkan diri untuk menghargai individu yang sentiasa ada untuk saya,” katanya selepas malam gala Pewaris Susuk, baru-baru ini.

Mengimbas kembali masa lalu, anak kepada aktor versatil, Azmil Mustapha itu mengakui arwah bapanya lebih selesa andai dia menumpukan perhatian kepada pelajaran berbanding menceburi bidang seni.

Kata Alya, insan dihormatinya itu tidak menghalang keinginannya untuk mengikuti jejak langkah sebagai pelakon cuma lebih mengutamakan pelajaran.

“Dulu arwah ayah memang tak bagi saya berlakon tetapi saya nak ikut jejaknya sebagai anak seni. Jadi sebaik memasuki bidang ini impian saya tentu mahu muncul di layar perak,” ujarnya.

Dalam Pewaris Susuk, Alya membawakan karakter pembantu rumah kepada pasangan suami isteri Hadift lakonan Datuk Rosyam Nor dan Seroja (Che Puan Sarimah Ibrahim).

Diarahkan Faizal Nadxaman, filem seram yang juga terbitan Primeworks Studios dan Anomali Media itu ditayangkan di pawagam bermula 30 April lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok