‘Menakutkan! Tolong jangan kejar saya di jalan raya’

PEMPENGARUH Leona mendedahkan berasa terganggu dan takut berikutan tindakan sesetengah pihak yang cuba mengekorinya secara sengaja di jalan raya.

Leona atau nama lengkapnya Kasih Iris Leona, 24, menegaskan dia tidak mempunyai masalah sekiranya peminat terserempak dengannya namun memohon agar menghormati keselamatannya.

“Tolong jangan ikut atau kejar saya di jalan raya. Sudah berlaku beberapa kejadian yang membuatkan saya sangat terganggu dan takut.

Jika anda terserempak dengan saya dan mahu mengambil gambar dari jauh, itu tidak mengapa.

“Tetapi jangan cuba memandu di sebelah saya, turunkan tingkap, melambai dan mengharapkan saya untuk membalasnya. Saya tidak akan berbuat demikian,” katanya dalam Threads.

Dalam pada itu, anak kepada pelakon senior Azhar Sulaiman itu berkongsi detik cemas apabila tindakannya cuba mengelak daripada diekori di tengah kesesakan trafik tidak diendahkan individu terbabit, sebaliknya terus mengejar kenderaannya.

“Bayangkan betapa menakutkan apabila saya cuba melarikan diri daripada anda di tengah kesesakan trafik.

Tetapi anda muncul di sebelah saya bukan sekali malah tiga kali.

“Tolong jangan buat begitu, sangat menakutkan saya dan membahayakan keselamatan saya,” jelasnya.

Leona mendedahkan sudah memiliki kenderaan sendiri apabila memuat naik foto bersama kereta elektrik (EV), Proton Emas 7 berwarna merah jambu.

Sejak memiliki kereta tersebut, ramai peminat teruja apabila terserempak dengan Leona sehingga ada bertindak menegur dan membunyikan hon walaupun ketika berada di atas lebuh raya.- HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok