‘Panggil kami kerja’ – Norish Karman sebak terima lebih RM15,000

SELEPAS Azar Azmi, usahawan Datuk Aliff Syukri meneruskan   amal dengan membantu keluarga pelakon Norish Karman apabila memberi sumbangan wang tunai lebih RM15,000 hasil jualan produknya menerusi siaran langsung malam tadi.

Menurut Aliff, wang sumbangan tersebut dianggap sebagai gaji terutama buat anak sulung Norish iaitu Hanyz Amanda yang merayu diberikan peluang pekerjaan daripada usahawan itu.

“Ini adalah gaji Norish dan anak-anak yang bantu melariskan jualan produk saya hari ini.

Saya nak tegaskan, mereka hadir bukan sebab meminta-minta tetapi ingin beraya dan memohon diberikan kerja sama ada boleh menjadi hos ‘live’ TikTok atau staf di pejabat.

“Ini rezeki keluarga Norish. Saya beri ini sebab yakin Allah SWT menjadikan saya perantara untuk membantu meringankan beban mereka sekeluarga,” katanya.

Menurut Aliff, dia tidak dapat menahan sebak melihat kesedihan dan kehidupan susah dilalui Norish bersama lapan anaknya termasuk tidak mempunyai televisyen dan sofa di kediaman mereka.

“Terima kasih kepada kalian yang menonton dan membeli produk saya.

Saya sedih melihat keluarga Norish kerana mereka sangat gembira dan saling menyayangi walaupun realitinya hidup mereka susah.

“Manda datang kepada saya beritahu tak mahu minta walau RM5 sebab masih ada kudrat dan memohon jadikan mereka sekeluarga hos live TikTok,” katanya lagi.

Sementara Norish yang sebak melihat jumlah sumbangan diterima berterima kasih kepada Aliff dan isterinya, Datin Shahida kerana sudi menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

Alhamdulillah, terima kasih datuk, datin dan semua rakyat Malaysia yang pemurah.

“Anggaplah ini satu perkongsian, semoga satu hari nanti kita boleh menjadi individu seperti Datuk Aliff yang sentiasa mebantu orang lain,” ujarnya.

Manda pula berkali-kali meminta Aliff memberinya peluang pekerjaan agar dapat mencari pendapatan membantu menyara keluarganya.

“Berkali-kali saya menangis malam ini. Terkejut dengan jumlah sumbangan sebanyak ini.

Datuk, panggil kami kerja, saya memang nak sangat bekerja. Kalau menjadi cef pun saya okey, nak memasak,” jelasnya.

Sebelum ini, Manda mengejutkan ramai apabila berkongsi tahap kesihatan Norish yang dikatakan semakin merosot sehingga perlu dimasukkan ke wad bagi menerima rawatan.

Dia turut membuka tabung online bagi meminta sumbangan ihsan daripada orang ramai untuk membayar kos rawatan ibunya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok