PENYANYI Ariff Bahran menzahirkan rasa kecewa apabila langkahnya menceburi dunia penganjuran konsert dipandang sinis segelintir pihak, lebih-lebih lagi selepas dirinya menjadi mangsa penipuan mencecah RM425,000.
Ariff atau nama sebenarnya Mohammad Ariff Bahran Ahmad Azhari, 29, menyifatkan sikap segelintir pemain industri berpengalaman sebagai tidak profesional apabila cuba mendominasi peluang, malah merendah-rendahkan usaha pihak baharu.
“Semua orang bermula dari bawah. Ada masa kita ditipu, jatuh dan bangun semula. Bagi saya, itu perkara biasa apabila pemain besar memperlekeh kami yang baru bertatih.
Namun, tidak perlulah merendah-rendahkan orang lain semata-mata untuk menghalang mereka meneruskan perniagaan.
“Janganlah berkata kononnya sesuatu kumpulan itu wajib melalui mereka sahaja. Kalau saya mampu dapatkan kumpulan itu, apa salahnya? Jangan perlekeh,” katanya kepada HibGlam.
Mengulas kerugian hampir setengah juta ringgit akibat ditipu individu menyamar sebagai penganjur konsert, pelantun lagu Kata Akhirmu itu mengakui masih menanti perkembangan daripada pihak berkuasa selepas individu terlibat terus ‘membisu’.
“Sehingga hari ini, individu terbabit masih berdiam diri. Memang ada janji mahu buat bayaran, tetapi ditangguhkan berkali-kali tanpa hasil.
Saya juga sudah dedahkan wajah dan identiti syarikat terbabit. Orang ramai sudah tahu, tetapi mereka masih bebas. Ada wang atau tidak, saya hanya mahu hak saya dipulangkan.
“Jumlah RM425,000 bukan kecil. Saya perlukan dana itu untuk urusan lain. Kami sudah tunggu sejak Ramadan hingga Raya, namun tiada sebarang bayaran,” ujarnya pada majlis Seloka Lebaran 2026 anjuran Rusa Music di sini, semalam.
Dalam masa sama, Ariff mengakui insiden tersebut meninggalkan kesan emosi mendalam, malah mencetuskan trauma untuk kembali aktif dalam bidang penganjuran konsert.
“Saya perlu selesaikan kes ini terlebih dahulu. Banyak pengajaran saya peroleh daripada pengalaman ini.
Jika saya kembali menganjurkan konsert selepas ini, setiap perancangan akan dibuat sepuluh kali lebih teliti.
“Saya harap pihak berkuasa bertindak segera. RM425,000 itu bukan kecil, malah boleh dijadikan deposit membeli rumah banglo,” luahnya.
Terdahulu, Ariff mendedahkan dirinya kerugian hampir setengah juta ringgit selepas dipercayai ditipu pihak penganjur yang berjanji membawa masuk kumpulan terkenal Indonesia, Sheila On 7 untuk mengadakan konsert di Malaysia. – HIBGLAM
