IMPIAN Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk menganjurkan konsert bertemakan lagu raya akhirnya terlaksana malam tadi menerusi Konsert Beraya Dengan Saya yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur.
Akui Siti, dia seringkali diajukan pertanyaan tentang penganjuran konsert lagu raya mmemandangkan mempunyai deretan lagu raya yang hit dan malar segar.
“Setiap kali bertemu peminat mesti mereka akan tanya, bila nak buat konsert lagu raya. Akhirnya malam ini (malam tadi terlaksana jua. Selalunya kalian tengok saya menyanyi lagu raya dalam rancangan televisyen sahaja.
“Sebenarnya saya rancang untuk menganjurkan konsert ini dalam waktu yang singkat. Tak sampai sebulan. Idea untuk menganjurkan konsert ini datang waktu bulan puasa yang lalu.
“Saya beritahu suami nak buat konsert ini. Dia cakap biar betul, ada ke orang nak dengar lagu raya. Dia turut meminta saya menyanyi lagu balada. Tetapi terbukti malam ini, konsert ini ‘sold out’,” katanya.
Seramai 2400 peminat hadir lengkap memakai baju raya mengikut tema konsert. Sebelum konsert bermula, pembeli tiket turut dihidangkan dengan jamuan juadah raya di luar dewan.
Siti menyediakan juadah raya enak buat peminat setianya seperti mee rebus, nasi minyak, lemang, ketupat, daging dendeng, kambing bakar dan kuih-muih tradisional.
Turut disediakan ‘photo booth’ untuk peminat mengabadikan kenangan menghadiri konsert tersebut.
Pada konsert tersebut Siti mendendangkan lebih 20 buah lagu antaranya Sesuci Lebaran, Anugerah Aidilfitri, Air Mata Syawal, Nazam Lebaran, Bila Syawal Menjelma, Lip Lap Raya, Meriah Hari Raya dan Beraya Dengan Saya.
Dia turut menjemput penyanyi dan komposer Aisha Retno yang membuat persembahan menerusi lagu raya fenomena tahun ini iaitu Jodoh Lebaran serta duet lagu Raya Nak Ke Mana.
