Si bujang popular pujaan dunia

HIDUP glamor selebriti Korea sering dianggap lengkap dengan kisah cinta indah, namun hakikatnya, tidak semua berpasangan dan selesa menikmati hari-hari sendirian meski usia sudah matang.

Kesibukan di set penggambaran, jadual padat serta komitmen terhadap seni membuatkan ada antara mereka mengetepikan soal cinta.

Fokus utama pula terarah kepada kerjaya, memburu pengiktirafan dan kejayaan demi kejayaan.

Menariknya, status solo tidak pernah meredupkan aura. Wajah menawan, kedudukan kukuh serta kekayaan melimpah menjadikan mereka idaman ramai.

Kimchi Panas minggu ini menampil barisan selebriti Korea kekal bujang, namun mereka terus unggul di puncak populariti.

Gong Yoo

MEMBINTANGI deretan karya popular, nama Gong Yoo sudah kukuh di persada antarabangsa.

Kendatipun mempunyai pakej lengkap dengan status kewangan yang kukuh, aktor berkarisma tinggi itu masih setia dengan status solo meski usia mencecah 40-an.

Ironinya, bintang drama Goblin itu memilih untuk tidak tergesa-gesa dalam soal cinta.

Pernah tular khabar bakal berkahwin dengan aktres Jung Yu-mi pada 2018, dakwaan tersebut dinafikan agensinya, Soop Entertainment.

Sejak itu, kehidupannya kekal tenang tanpa gosip hangat. Fokus utamanya terarah kepada naskhah berkualiti serta pemilihan skrip berimpak tinggi.

Aura misteri dan pesona matang menjadikan Gong Yoo kekal sebagai jejaka idaman ramai wanita seantero dunia.

Jo In-sung

Sudah memasuki fasa usia matang, pelakon Jo In-sung mengakui selesa hidup solo tanpa tekanan luar.

Pernah bercinta dengan aktres dan model, Kim Min-hee sekitar 2013, hubungan mereka hanya bertahan setahun sebelum bernoktah.

Namanya turut dikaitkan dengan pelakon Gong Hyo-jin selepas bergandingan dalam drama It’s Okay, That’s Love, namun dinafikan pihak agensi.

Dengan reputasi kukuh serta kredibiliti tinggi, In-sung terus berdiri sebagai aktor elit tanpa perlu bergantung pada kisah peribadi.

Song Ji-hyo

AKTRES Song Ji-hyo membuktikan kebahagiaan tidak bergantung kepada cinta semata-mata.

Sebelum ini, dia dikaitkan menjalinkan hubungan mesra dengan rapper Kang Gary dan penyanyi Kim Jong-kook dalam program Running Man, namun itu sekadar gosip apabila kedua-dua lelaki itu kini sudah berkahwin dengan wanita pilihan masing-masing.

Enggan terbeban dengan ekspektasi khalayak, wanita berusia 44 tahun itu memilih untuk fokus kepada kerjaya serta kemunculan secara konsisten dalam program hiburan popular.

Keperibadian santai dan aura semula jadi menjadikan Ji-hyo terus disayangi ramai peminat seluruh dunia.

Walau masih solo, dia tampak bahagia dan menikmati hari-harinya dengan tenang.

Lee Dong-wook

Wajah kacak serta gaya elegan menjadikan aktor Lee Dong-wook sentiasa menjadi perhatian selain dilabel jejaka ‘sempurna’.

Pun begitu, hingga ke hari ini hatinya belum dimiliki meski mempunyai segalanya dalam hidup.

Lelaki berusia 44 tahun itu pernah bercinta dengan Bae Suzy, namun tidak bertahan lama.

Dia kemudian dikatakan menjalin hubungan dengan aktres Yoo In-na tetapi itu sekadar spekulasi tanpa bukti kukuh.

Jadual kerja yang padat dan tawaran tidak putus membuatkan Dong-wook kekal fokus membina legasi sebagai aktor ternama.

Song Seung-heon

Kekal bersih tanpa secalit kontroversi cinta, pelakon kacak Song Seung-heon memilih untuk kekal solo kendati usia kian meningkat.

Menariknya, sepanjang bergelar anak seni, lelaki berusia 49 tahun itu hanya memiliki satu kisah cinta terbuka sepanjang karier.

Hubungan bersama aktres Liu Yifei bermula daripada filem The Third Way of Love sebelum berakhir pada 2018.

Sejak perpisahan itu, tiada lagi kisah cinta menghiasi hidupnya. Fokus utama terarah kepada kerjaya serta projek lakonan baharu.

Ketampanan tidak dimamah usia menjadikan dirinya terus menjadi dambaan peminat wanita. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok