DEMI kelangsungan karier seni, pelakon Faye Kusairi tidak segan mempromosikan diri secara terbuka dalam Threads bagi mendapatkan peluang berlakon dalam naskhah berkualiti.
Ujar Faye atau nama sebenarnya Dayangku Faratiwan Adnil Awang Khusairi, 38, dia masih mempunyai keinginan kuat untuk terus beraksi di layar, namun sedar cabaran dunia seni hari ini semakin berbeza.
Selagi saya belum merajuk, tolong beri peluang untuk watak dan naskhah baik.
“Saya tidak pernah lewat, sentiasa menepati masa. Saya juga sentiasa bersedia mengikut skrip dan keperluan watak.
“Saya bukan jenis cerewet atau banyak permintaan,” katanya.
Bagaimanapun, bintang drama Andai Itu Takdirnya 2 itu secara jujur mengakui kekurangan dari segi populariti mungkin menjadi penghalang untuk terus relevan dalam industri ketika ini.
“Mungkin kekurangan saya, saya tidak popular atau tidak mempunyai pengikut terlalu ramai.
Itu mungkin buat saya kurang relevan pada zaman sekarang. Entahlah.
“Yang penting, saya tahu saya tidak kayu dalam lakonan,” ujarnya.
Dalam masa sama, isteri kepada pengarah Azmi Hatta itu turut menyuarakan keinginan mendalam untuk berlakon dalam drama berbahasa Sarawak, sesuatu yang disifatkan sebagai impian peribadi.
“Saya memang teringin berlakon drama bahasa Sarawak. Tolonglah beri peluang untuk saya berlakon menggunakan bahasa kita.
Tiadakah produser mahu gunakan saya? Saya janji mampu berlakon. Malah, saya juga ada diploma sebagai jurulatih lakonan,” luahnya.
Tambahnya, dia pernah menerima tawaran berlakon dalam projek sedemikian, namun terpaksa menolak akibat pertindihan jadual kerja.
“Saya pernah dapat satu tawaran, tetapi terpaksa tolak sebab bertindih dengan kerja lain.
Selepas itu, terus tiada peluang. Memang teringin sangat,” kongsinya.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai dengan rata-rata netizen menyokong keberanian Faye selain menyifatkannya sebagai pelakon berbakat besar yang wajar diberi peluang.
Namun, terdapat juga segelintir pihak berpendapat industri kini lebih berpaksikan pengaruh media sosial sehingga aspek bakat tidak lagi menjadi keutamaan sepenuhnya. – HIBGLAM
