DUGAAN Syawal, penyanyi Nourul Depp hiba menerima khabar mengenai abang, Mohamad Rizal Ab Wahab yang disahkan menghidap kanser darah.
Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab, 49, mengakui sedih memikirkan dugaan berat yang perlu ditanggung insan kesayangannya itu.
“Hilang kata-kata bagi seorang seperti saya yang mudah meluahkan kata-kata. Apabila sampai ujian yang satu ini, saya punah dan pasrah.
“Abang saya ini adalah abang yang kami sayangi. Ya Allah, berikan kesembuhan kepada Mohamad Rizal Ab Wahab yang diduga dengan kanser darah
“Tidak tahu bagaimana hendak meluahkan rasa ini. Dua hari yang amat sukar bagi saya. Banyak cabaran. Ya Allah, permudahkan urusan kami. Amin,” tulisnya dalam Instagram.
Menerusi hantaran sama, Nourul yang kini tinggal di Bali, Indonesia turut berkongsi klip video dengan abangnya ketika pulang ke tanah air, baru-baru kini.
Tidak lupa menitipkan kata-kata semangat, penyanyi lagu Cinta Azali mendoakan agar insan penting dalam kehidupan mereka itu dikurniakan kesembuhan.
“Lekas cergas, abang. Kita hendak ke Mekah bersama dan kita hendak ‘ride’ di Bali nanti,” ujarnya.
Menjengah ruangan komen, ramai peminat serta rakan selebriti juga mendoakan kesejahteraan buat abang penyanyi terbabit.
“Semoga Allah mengangkat sakit serta dikurniakan kesembuhan segera,” tulis netizen. – HIBGLAM
