BARANGKALI nama penyanyi Zur Eda kedengaran asing buat Generasi Z, namun bagi peminat sezaman dengannya, figura tersebut bukan susuk baharu dalam arena muzik tanah air.
Anak seni itu memulakan perjalanan nyanyian sejak 1983, ketika industri hiburan tempatan sedang rancak berkembang dengan pelbagai warna dan gaya persembahan.
Pada awal kemunculan, Zur Eda pantas mencuri perhatian sehingga menerima julukan ‘Sade Malaysia’, merujuk persamaan gaya muzik serta aura persembahan dengan penyanyi Britain, Sade Adu.
Suara serak bersulam jazz dan soul menjadikan namanya mudah dikenali, sekali gus membina kelompok peminat setia sepanjang era kegemilangannya.
Dekad 1980-an pula sering dianggap zaman emas muzik tempatan. Ketika itu, penyanyi tidak hanya muncul di pentas, malah membina hubungan erat sesama rakan industri.
Persahabatan terjalin melebihi hubungan kerja, malah berkembang menjadi keluarga seni yang saling menyokong dalam susah dan senang.

USIA semakin mencemburui waktu, Zur Eda sayu terkenangkan rakan-rakan seperjuangan yang telah dijemput Ilahi sejak kebelakangan ini sekali gus memberi petanda bahawa mati itu pasti.
Namun, seminggu sudah tirai Aidilfiri tahun ini dibuka, hati Zur Eda seolah-olah direntap pilu, dia mengakui air matanya tidak pernah benar-benar kering sejak 1 Syawal apabila mengenangkan semakin ramai sahabat seperjuangan era 1980-an telah kembali menghadap Ilahi.
Baginya, meskipun Aidilfitri pantas berlalu, kenangan lama hadir bertalu-talu, mengingatkan betapa rapatnya hubungan antara mereka suatu ketika dahulu.
“Walaupun sudah seminggu kita beraya, tapi setiap kali 1 Syawal tiap tahun, selain rindu terhadap ibu bapa yang telah pergi, air mata saya juga gugur mengenangkan rakan seperjuangan seperti Rohana Jalil, Nasir Wahab, Maya Matahari.
Hubungan kami bukan sekadar kawan biasa. Setiap malam raya, kami saling mengajak ke rumah masing-masing. Kadang-kadang berkumpul di rumah Rohana Jalil, Nasib Wahab dan lain-lain.
“Ada masakan Johor, ada hidangan raya. Apa pun yang berlaku, kami tetap berkumpul. Momen seperti itu sangat sukar ditemui lagi sekarang,” katanya kepada HibGlam.
Lebih memilukan, hati pemilik nama sebenar Zuraidah Mokhtar itu pula terus dirobek dengan pemergian sahabatnya iaitu Allahyarham Nadia Kesuma pada Januari lalu yang membuatkan jiwa ampuhnya hancur lebur.
Meski pahit realiti ingin ditelan, pemergian sahabat di bumi para nabi itu sebenarnya menghadirkan rasa cemburu yang sukar digambarkan.
Tahun ini seorang lagi kawan rapat pula meninggal. Paling sedih arwah pernah ajak saya pergi umrah. Saya beritahu keadaan kewangan tak mengizinkan kerana perlu pusing modal untuk perniagaan kuih. Bila dia pergi dan kemudian meninggal di sana, perasaan itu sangat berat.
“Saya sedih kerana kehilangan, tetapi pada masa sama rasa cemburu melihat pemergiannya. Nadia meninggal di bumi Anbiya, tempat mulia. Kadang saya terfikir, alangkah indahnya jika dapat pergi dalam keadaan begitu, dalam husnul khatimah,” ujarya.
Bukan wanita liberal!
Enggan terus hanyut dalam deruan emosi mengenang sahabat seni, penulis mengalihkan topik kepada perubahan penampilan baharunya.
Sopan dan manis, pelantun lagu Pelitaku itu kini kelihatan berhijab, namun langkahnya turut mengundang kritikan segelintir pihak yang menganggap gaya tersebut terlalu liberal dan tidak menepati syarak.

DITUDUH liberal, Zur Eda menafikan perkara terbabit sebaliknya menegaskan urusan antaranya dengan Tuhan adalah bersifat peribadi dan tidak perlui ditayang kepada umum.
Pertanyaan sebegitu diajukan dengan hati-hati. Wajahnya tenang, namun nada suara jelas menunjukkan kejujuran seorang insan yang memilih untuk berbicara dari sudut hati, bukan semata-mata memenuhi kehendak manusia.
“Baik, biar saya berterus-terang. Setiap manusia ada kepercayaan sendiri. Hubungan dengan Tuhan itu urusan peribadi antara kita dengan Allah. Apa pun perkara yang kita lakukan, yang paling utama adalah niat atau nawaitu.
Kalau hendak dikira, menyanyi pun ada yang kata berdosa bagi wanita kerana soal aurat, namun dalam masa sama, itu juga sumber rezeki dan kesinambungan hidup. Allah Maha Pengampun dan Maha Mengetahui. Saya percaya setiap insan sedang berusaha memperbaiki diri.”
“Ada masa saya tampil bertudung penuh, terutama dalam program tertentu seperti acara kerohanian. Kita cuba berpakaian sopan dan sesuai dengan keadaan. Tetapi perjalanan ini berlaku perlahan-lahan. Saya percaya perubahan tidak boleh dipaksa,” tuturnya.
Paling penting tegasnya, keikhlasan jauh lebih penting daripada perubahan yang dilakukan kerana tekanan orang sekeliling.
Saya baru berhijrah sedikit demi sedikit. Saya percaya perubahan harus berlaku perlahan. Kalau lakukan sesuatu kerana terpaksa, akhirnya tidak ikhlas. Apa sahaja yang kita buat perlu datang daripada hati.
“Yang penting adalah niat. Bangun pagi, tanya diri sendiri apa yang kita mahu lakukan hari ini. Kalau rasa bersalah, mohon ampun kepada Allah.
“Saya melalui zaman rock kapak. Pakai pakaian pentas macam-macam, ada yang berpotongan pendek, gaya leopard dengan but tinggi. Itu realiti dunia hiburan waktu itu, terutama apabila saya menyanyi di kelab malam,” tegasnya.
Kini, bekas peserta Gegar Vaganza musim ketiga itu memilih pendekatan sederhana dalam berpakaian, selari dengan keselesaan diri.
“Saya bertudung, tetapi kadang-kadang memakai turban. Bukan kerana mahu kelihatan liberal, tetapi kerana itu keselesaan saya buat masa ini, yang penting adab dan niat saya.
Kalau hendak ikut hukum sebenar, cara saya ini masih belum sempurna. Tudung sepatutnya menutup dengan lebih lengkap. Saya sedar perkara itu dan sentiasa berdoa agar diberikan kekuatan untuk menjadi lebih baik.
“Doakan saya supaya terus istiqamah. Saya cuma mahu hidup dengan hati tenang, memperbaiki diri sedikit demi sedikit. Perjalanan ini masih panjang,” jelasnya.
Menyanyi sampai mati
Masih bekerja keras meskipun usia sudah melangkaui enam dekad, Zur Eda tidak terlepas daripada mulut-mulut sinis.
Ada sahaja suara nakal mempersoalkan mengapa masih gigih menyanyi sedangkan usia semakin lanjut, malah ada juga bertanya di mana peranan suami dan anak-anak dalam menyara kehidupannya.

MESKIPUN hidup dengan kemilau cahaya glamor sekian lama, Zur Eda tidak malu mencari rezeki dengan membuka bonet kereta menjual nasi lemak. Baginya, itu adalah punca rezeki yang halal.
Tenang, dia berkata, persoalan tersebut tidak pernah menggoyahkan semangatnya untuk terus berdiri kerana baginya, bekerja bukan semata-mata soal wang, tetapi tentang maruah dan cinta terhadap apa yang dilakukan sejak puluhan tahun lalu.
“Begini. Ada dua sebab seseorang itu masih bekerja. Pertama kerana terpaksa mencari nafkah demi kelangsungan hidup. Kedua, kerana minat. Dalam kes saya, lebih kepada minat. Saya memang suka menyanyi.
Selagi peminat masih menerima dan masih ada undangan, saya akan teruskan. Kita pun sedar usia sudah meningkat. Orang kata sudah sampai masa untuk perlahan tapi bagi saya, rezeki Allah itu luas. Kita tidak perlu terlalu sempitkan fikiran.
“Orang kata hidup di Kuala Lumpur susah. Bagi saya tidak. Kalau sudah terdesak, buka saja bonet kereta, berniaga. Kenapa perlu malu? Saya tidak mencuri,” katanya.
Pun begitu, Zur Eda tidak menafikan keadaan kesihatan suaminya, Zulkifli Mohd. Yusoff turut menjadi faktor dia terus kuat bekerja.
“Suami saya ada masalah jantung. Dia sudah tidak boleh buat kerja berat. Jadi saya cakap kepadanya, tidak mengapa. Awak berehat, saya yang akan cari rezeki. Kita ada banyak cara untuk mencari duit.
Dia pernah kata rasa kecewa sebab tak dapat membantu. Tapi saya jawab, itulah akad kita sebagai suami isteri.
“Kita sama-sama susah dan senang. Saya pernah buka bonet kereta jual nasi lemak. Saya tidak malu langsung,” tutupnya. – HIBGLAM
