‘Dosa kalian orang tak nampak, aku punya terzahir di badan’

MENGEJUTKAN ramai dengan penampilan bertatu di lengan, pempengaruh Iman Kamil mengingatkan setiap manusia punya kekurangan, namun tidak semua dizahirkan secara fizikal.

Katanya yang turut dikenali dengan panggilan Yes Iman, pendedahan itu dilakukan selepas penat menanggung perkara yang dipendamkan sekian lama.

“Sebelum ni aku tak zahirkan (tunjuk tatu), baru sekarang aku zahirkan. Sama macam kalian, cuma dosa kalian tak zahir pada badan. Orang tak nampak, tapi dosa aku terzahir kat badan.

“Sejujurnya aku dah penat. Nasib baik aku hidup lagi. Itu saja aku fikir, bersyukur. Kalau aku mati pun kalian tetap mengata aku. Lebih baik aku hidup macam ni, kalian tetap mengata aku. Apa sajalah, yang salah tetap aku.

“Memang aku jahat, tak pernah buat baik. Kadangkala aku rasa hidup ni tak adil. Kita buat baik (tapi) nampak jahat. Buatkan aku penat, aku jadi frust (tertekan),” katanya menerusi hantaran video di Instagram.

Pempengaruh teknologi dan gaya hidup popular itu juga mendakwa kerap menjadi sasaran kutukan pihak luar yang selalu menuduhnya sebagai individu tidak baik.

“(Tuduhan) jadikan banyak persoalan dalam kepala kau. Aku dah buat baik, kenapa dapat macam ni. Baik aku buat jahat je. Aku tak cakap aku nak jadi jahat. Aku akan jadi diri aku yang biasa, diri aku sendiri,” ujarnya.

Pada awal perkongsian, Iman menegaskan semua yang diluahkan dalam perkongsian tersebut sebagai perkara benar yang diluahkan kepada umum.

Akuinya, hal mengenai tatu pada lengannya mahu dimaklumkan sendiri berbanding membiarkan perkara tersebut diketahui menerusi mulut orang lain.

“Video ini bukan AI, ini video betul. Apa yang kalian nampak semuanya betul. Ya, aku tahu penuh dengan kejutan. Kadang kita tak nak pun, benda tu akan jadi juga.

“Aku kena bagi tahu. Kalau aku keluar orang akan jumpa aku, kenal aku, tanya aku. Aku malas nak jawab banyak Kali, aku pun tak tahu.

“Dari kalian dengar daripada mulut orang, buat spekulasi biar saja aku bagi tahu. Ya, benda kat tangan aku (tatu) betul.

Bahkan, Iman turut mendedahkan situasi sebenar yang dilaluinya apabila perlu berjuang untuk terus bertahan berikutan tekanan.

“Tiada siapa yang tahu aku struggle, apa yang aku hadap setiap malam. Dalam kepala aku ini bising. Aku tahu benda ni akan jejaskan aku punya hidup, hancurkan karier (tapi) sebenarnya memang dah hancur,” katanya.

Pendedahan tersebut mengundang pelbagai respons netizen yang rata-rata memberi sokongan moral agar dia terus kuat berdepan cabaran.

“Aku takkan hakimi. Tapi aku mahu kau tahu kau masih ada peluang untuk betulkan apa sahaja dalam hidup kau,” tulis netizen. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok