‘Susah terpikat dengan lelaki pemalas, menjengkelkan!’

PENYANYI Mimi Fly mengakui lebih rela menjalani kehidupan solo berbanding menjalin hubungan dengan lelaki memiliki sikap ‘red flag’, terutama golongan pemalas dan enggan berusaha memperbaiki diri.

Ujar Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham, 39, sikap tersebut antara perkara paling menjengkelkan sehingga mampu membuatkan minatnya terhadap seseorang lelaki hilang serta-merta.

Red flag paling besar bagi saya ialah lelaki malas. Sikap itu memang menjengkelkan dan boleh buat saya terus hilang minat.

“Saya susah nak terpikat dengan lelaki yang malas, sama ada malas bekerja, malas berfikir atau malas ambil peduli tentang kehidupan,” katanya dalam sebuah audio siar.

Tambah pelantun lagu Angkat itu, terdapat perbezaan besar antara lelaki benar-benar mahu menjadi suami dan mereka yang sekadar mahu memiliki isteri.

“Ada lelaki mahu menjadi suami, tetapi ada juga lelaki hanya mahu ada isteri. Dua perkara itu sangat berbeza.

Kebiasaannya lelaki yang sekadar mahu ada isteri memiliki pemikiran malas kerana mereka hanya mahu seseorang mengurus dan menjaga diri mereka,” ujarnya.

Paling penting kata Mimi, lelaki sepatutnya sentiasa berusaha meningkatkan nilai diri agar menjadi individu lebih baik dari semasa ke semasa.

“Seorang lelaki perlu membina nilai diri kerana dalam kehidupan, mereka sedar usaha sangat penting untuk menjadi lebih baik.

“Namun ada juga lelaki tidak mahu membina nilai diri tetapi berasakan mereka berhak memperoleh sesuatu tanpa usaha.

“Lelaki seperti itu, lebih baik jauhkan diri daripada saya,” tegasnya.

Perkongsian tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen apabila rata-rata nya bersetuju dengan pandangan penyanyi berkenaan.

“Betul juga cakap Mimi. Lelaki malas memang susah nak pergi jauh dalam hubungan,” tulis seorang pengguna media sosial.

“Perempuan sekarang bukan lagi cari lelaki untuk bergantung, tetapi mahu pasangan yang sama-sama berusaha,” komen seorang lagi netizen.

Namun terdapat juga segelintir netizen berpendapat sikap pemalas bukan hanya dimiliki lelaki, sebaliknya boleh berlaku dalam mana-mana hubungan tanpa mengira jantina. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok