‘Saya suka badan macam Kim K, setiap hari squat’

PELAKON Wafariena menafikan dakwaan menjalani pembedahan pada bahagian punggung semata-mata mahu memiliki bentuk badan idaman.

Menurut Wafariena atau nama penuhnya Wafariena Roslan, 31, perubahan bentuk badannya tampak ketara hasil bersenam secara konsisten sejak bertahun-tahun.

“Saya nafikan, tak ada (pembedahan) apa pun. Sejujurnya, bulan puasa pun saya bersenaman.

Selepas tarawih saya akan bersenam selama satu atau dua jam untuk muka. Alhamdulillah, tak ada (pembedahan) selain ‘booster’ untuk jaga kulit,” katanya kepada HibGlam pada program Melodi Raya yang berlangsung di Saloma, Kuala Lumpur, kelmarin.

Dalam masa sama, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku 2 itu mengindamkan bentuk badan seperti personaliti popular antarabangsa, Kim Kardashian (Kim K) yang menjadi pendorong utama untuknya berdisiplin dalam melakukan senaman.

Saya rasa kawan-kawan industri meminati pinggul saya. Perempuanlah, mereka tanya saya buat apa.

“Saya cakap bersenam, buat bebera jenis squat sebab saya suka badan macam Kim K.

“Tapi tak adalah nak buat betul-betul macam Kim K, cuma suka penampilan begitu sebab saya tinggi. Kalau kurus sangat tak cantik, saya suka ada bentuk,” ujarnya lagi.

Tegas Wafariena, rutin kecergasan yang dimulakan sejak usia belasan tahun bukanlah bertujuan untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya lebih kepada kepuasan diri dan membina keyakinan.

“Saya ajar juga mereka buat (senaman), bila orang tanya saya cakap buat squat. Tak ada saya nak cakap semula jadi, itu belagak jadinya.

Daripada umur 19 tahun dah mula bersenam, sekarang sudah 31 tahun. Saya buat senaman bukan nak masuk pertandingan atau tunjuk badan tidak.

“Saya buat untuk diri sendiri supaya rasa yakin, fit dan cantikan diri, itu hak saya,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, perubahan bentuk badan Wafariena menjadi tumpuan netizen sehingga didakwa melakukan pembedahan pada bahagian punggung. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok