“KALAU datang lambat, tolong minta maaf.”
Itu pesanan pendatang baharu, Zarif Ghazzi kepada pelakon-pelakon seangkatannya jika terlewat hadir ke lokasi penggambaran.
Menurut Zarif atau nama sebenarnya Zarif Farahi bin Effie Ghazzi, 22, dia sendiri pernah terlewat 10 minit dan terus memohon maaf kepada setiap kru dan barisan pelakon.
“Sebagai pelakon baharu, apa yang paling saya takutkan adalah masa. Tak kisah lah kita kerja apa sekalipun. Kalau boleh datang lebih awal daripada ‘call time’.
Penting untuk menghormati masa orang. Setiap pihak yang terlibat dalam sesebuah produksi ada keluarga yang menanti mereka di rumah. Jangan disebabkan kita lambat, orang lain yang terpaksa menanggung kesannya.
“Kalau terlambat sekalipun, pastikan minta maaf dengan setiap orang di set dan beritahu mereka kenapa anda terlambat. Jangan datang buat muka tak bersalah,” katanya ketika ditemui di sidang media dan majlis berbuka puasa bersama pelakon drama Hilang Dalam Rindu 2 , semalam.
Tambah pelakon drama Khunsa itu lagi, setiap pelakon perlu menjaga perlakuan di set agar disenangi ramai pihak.
“Saya faham kadang-kadang bukan sengaja pelakon datang lambat. Mungkin ada perkara tak dapat nak dielakkan.
Macam saya sendiri, ketika saya datang lambat dulu, saya minta maaf dengan semua orang. Dan mereka faham serta terima permohonan maaf saya. Bila kita berbudi, orang berbahasa,” jelasnya.
Terdahulu pelakon senior Azhan Rani mendakwa ada pelakon baharu datang lambat ke set penggambaran dan tanpa segan silu tidak memohon maaf atas kesalahan.
Katanya, dia terpaksa menunggu dari pagi hingga petang untuk pelakon yang belum dikenali itu tiba di lokasi penggambaran. – HIBGLAM
