TERUS membuktikan keberanian, Sophia Albarakbah kini meneroka watak lebih mencabar.
Acap kali melakonkan watak wanita anggun dan lemah-lembut, kali ini Sophia menyelami sebuah kisah realiti yang sering dipandang serong masyarakat.
Menerusi naskhah terbaharunya berjudul Amira Amir, Sophia bukan sekadar berlakon, malah dia meletakkan seluruh emosinya dalam watak yang mencabar sensitiviti agama dan budaya.
Bercerita mengenai penglibatan awalnya dalam filem tersebut, pelakon berusia 33 tahun itu mengakui inti pati penceritaannya berjaya menyentuh hatinya sejak kali pertama menghadam skrip.
“Inti pati naskhah ini mengenai transgender. Saya setuju sebab tak pernah watak sebegini.
Karakter ini sangat mencabar tapi dalam masa sama menarik. Selepas baca skrip saya menangis.
“Saya fikir ada cara lain untuk letakkan rasa empati terhadap orang sekeliling terutama golongan ini (transgender),” katanya kepada HibGlam.

DEMI menghidupkan wataknya dalam Amira Amir, Sophia turun padang bertemu transgender untuk menyelami hidup golongan itu.
Demi menjiwai watak, Sophia atau mesra disapa Sophie mengambil inisiatif dengan mendekati golongan transgender bagi mendengar sendiri kisah hidup mereka.
Apabila dapat watak Amira, saya banyak buat homework, lepak dengan golongan transgender dan menyelami hidup mereka.
“Setiap kali saya tanya kisah hidup mereka, semuanya sama, ibu bapa tak terima.
Saya faham betapa sakitnya apa yang mereka lalui. Bagi saya, sebagai ibu bapa sekiranya ada anak sebegini, kita jadi sistem sokongan mereka, bukan sokong tindakan.
“Kalau tiada sistem sokongan yang kuat, mereka akan lagi terpesong dan hanyut,” ujarnya lagi.
Tabu
Sedar topik transgender pasti mengundang perdebatan hebat, pelakon filem Saka Perawan itu bersedia menerima sebarang maklum balas penonton.

PERKAHWINAN yang terbina atas dasar cinta antara Ziyad dan Amira berdepan konflik selepas terbongkarnya satu rahsia besar.
“Saya terima segala komen atau apa sahaja pendapat. Sudah semestinya setiap cerita orang akan ada pandangan tersendiri.
Kita bukan nak angkat atau membenarkan, memperakui benda salah terutamanya berkaitan hukum agama.
“Perkara ini agak tabu. Menerusi filem Amira Amir kita memang nak masyarakat memperkatakan tentangnya bagi mewujudkan kesedaran.
“Jangan menghakimi naskhah ini sebelum menonton dan memahami apa yang cuba kami angkat untuk renungan bersama.
Ini bukan mengenai transgender semata-mata tetapi menekankan aspek kekeluargaan, kejujuran dan persahabatan. Realiti pahit yang berlaku dalam masyarakat kita,” jelasnya.
Dalam masa sama, Sophia mendedahkan terpaksa bergelut dengan emosi berbeza apabila menjalani penggambaran Amira Amir serentak dengan projek drama lain.
“Ketika menjayakan penggamabran Amira Amir, saya turut terikat dengan penggambaran drama Bidadari Asmara sebenarnya.
Agak mencabar untuk saya kerana menerusi watak Shila dalam Bidadari Asmara, saya kena jadi wanita lemah lembut.
“Kemudian tukar jadi Amira pula tetapi alhamdulillah bila masuk set memang fokus watak itu sahaja, tak keliru,”
tutupnya. – HIBGLAM
