Guna AI tak salah tapi jangan curi hak orang lain”.
Demikian kata, komposer dan penulis lirik, Aepul Roza apabila diminta menggulas tentang penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam bidang muzik.
Baru-baru ini lagu Cinta Tersimpul Rapi dendangan Anis Suraya versi AI yang diberi nafas baharu oleh pencipta kandungan, Jane In Heaven terpaksa diturunkan dari semua platform digital kerana menyalahi Akta Hak Cipta 1987.
Kata Aepul atau Noor Syaiful Mohd. Zalaludin, 37, tindakan itu jelas menyalahi undang-undang dan sebagai pengkarya, dia terpanggil untuk memberi kesedaran tentang hak harta intelek kepada masyarakat.
Boleh guna AI tetapi gunakan dengan rasa bertanggungjawab. Sebabnya sudah ada isu dengan lagu Cinta Tersimpul Rapi versi A.I yang dikatakan lebih sedap didengar berbanding versi asal. Mungkin sedap kerana diberi nafas baru sesuai dengan selera pendengar sekarang.
“Tetapi lagu itu terpaksa diturunkan kerana tidak mendapat kebenaran pencipta asal lagu itu. Saya tahu dia tidak berniat mencuri karya orang lain, cuma mungkin dia kurang faham tentang pemilikan hak cipta atau harta intelek.
“Dalam versi apa sekalipun, kita tidak boleh menidakkan hak cipta yang dimiliki komposer dan penulis asal. Saya ingin tegaskan, guna AI tidak salah, tapi tolong hormat dan jangan curi karya orang lain,” katanya.
Dalam pada itu vokalis Drama Band itu tidak menolak penggunaan AI, malah sebagai pengkarya dia mengakui harus mengikuti perkembangan teknologi semasa supaya tidak jauh ketinggalan.
Namun, kata Aepul, dia hanya menggunakan AI sebagai alat untuk memudahkan kerja seorang komposer.
Bukan mudah untuk cipta lagu, banyak prosesnya. Tetapi sekarang, hanya dihujung jari semua orang boleh cipta lagu.
“Saya galakkan untuk pengkarya dan pencipta kandungan terus menggunakan AI kerana kita tidak boleh sombong dan tidak boleh menolak teknologi. Cuma gunakan secara berhemah,” tutur Aepul yang ditemui pada Majlis Iftar Geng Drama Band di Astana Putra, Serdang, Selangor, semalam. – HIBGLAM
