Dipinang ‘taikun’, jelitawan Korea tidur atas katil emas

PESONA selebriti Korea Selatan bukan hanya memikat peminat, malah mampu menawan hati golongan elit. Wajah menawan, reputasi kukuh serta aura bintang menjadikan mereka pasangan idaman, termasuk dalam kalangan jutawan dan konglomerat.

Di sebalik kemuncak populariti dikecapi, tersimpan kisah cinta bertemu jodoh dunia korporat. Ada pemilik bank, usahawan teknologi, pewaris empayar kewangan hingga pelabur hartanah, semuanya terpikat pada figura seni.

Perkahwinan mereka sering digelar ‘alam fantasi versi realiti’ dengan gabungan pengaruh selebriti dan kekayaan luar biasa. 

Kimchi Panas minggu ini menampilkan empat bintang wanita Korea memilih lelaki berstatus tinggi sebagai teman hidup, sekali gus membina empayar keluarga penuh prestij.

  • Jun Ji-hyun

Ratu K-drama, Jun Ji-hyun berkahwin dengan pengurus bank dan pewaris keluarga kaya, Choi Joon-hyuk pada 2012. 

Suaminya kini mengetuai Alpha Asset Management serta berasal daripada keluarga elit seni dan kewangan. Selain karier lakonan stabil, aktres berusia 44 tahun itu terkenal sebagai Ratu Hartanah Korea dengan nilai asetnya dianggarkan mencecah sekitar RM5 bilion.

Bukan itu sahaja, jelitawan tinggi lampai itu mempunyai pemilikan bangunan komersial di Gangnam, Yongsan dan kawasan elit lain selain penthouse mewah di Acro Seoul Forest serta beberapa hartanah premium dibeli secara tunai. Pasangan sekufu itu dikurniakan dua anak lelaki dan terus mengekalkan reputasi sebagai keluarga selebriti paling berpengaruh di Korea.

  • Lee Hye-young

Pelakon senior Lee Hye-young berkahwin semula dengan tokoh kewangan Asia, Boo Jae-hoon pada 2011 di Hawaii. 

Suaminya merupakan pengasas serta rakan kongsi MBK Partners, firma ekuiti persendirian gergasi mengurus aset dianggarkan melebihi RM100 bilion. sesuai dengan minat aktres berusia  63 tahun itu terhadap seni. 

Biarpun hidup dalam kemewahan, hubungan mereka terkenal romantis dan utuh sehingga kini. Merpati dua sejoli itu menetap di kediaman mewah Hannam-dong menghadap Sungai Han, dihiasi koleksi seni bernilai tinggi. Walaupun sibuk, hubungan mereka kekal romantik dan utuh hingga kini.

  • Han Chae-young

Digelar Barbie Korea, aktres Han Chae-young melangsungkan perkahwinan mewah bersama usahawan Korea-Amerika, Choi Dong-joon pada 2007.

Lamaran suaminya mencetuskan sensasi, sekali gus mencuri perhatian khalayak apabila menghadiahkan cincin berlian 5 karat bernilai RM1.7 juta  serta sebuah kereta mewah hampir RM700,000.

Suaminya Choi memegang jawatan penting dalam syarikat teknologi dan kewangan, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai figura elit.

Kini pasangan itu menetap di villa eksklusif Gangnam bersama seorang anak lelaki, menjalani kehidupan rumah tangga stabil lebih 17 tahun.

  • Kim Hee-sun

Pelakon popular era 1990-an, Kim Hee-sun memilih Park Ju-young, anak konglomerat Larksan Group sebagai suami pada 2007.

Selain latar keluarga kaya, Park turut mengendalikan syarikat estetika bernilai tinggi di kawasan elit Apgujeong-dong dengan jualan tahunan sekitar RM33 juta.

Majlis perkahwinan berlangsung gilang-gemilang di hotel mewah Seoul, memperlihatkan gabungan dunia hiburan dan perniagaan sekali gus menjadi Wedding of The Year tahun itu,

Kini pasangan tersebut hidup bahagia bersama seorang anak perempuan sambil mengurus empayar perniagaan keluarga.



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok