‘Orang kata saya nak jatuhkan agama, gila ke saya?’

MENJADI sasaran kecaman netizen apabila dua karya terbaharunya, Jangan Panggil Aku Gus dan Walid dikatakan sengaja ‘menelanjangkan’ aib golongan beragama, penerbit dan pengarah Erma Fatima menegaskan tidak tergamak berbuat demikian atas nama rating.

Erma, 58, atau nama lengkapnya, Fatimah Rahmad Ali, berkata, dia masih waras dan tuduhan melulu tersebut tidak benar sama sekali.

Katanya, realiti yang diterjemahkan melalui karya seninya adalah cerminan masyarakat dan sepatutnya dijadikan iktibar kerana tiada manusia yang sempurna di mata Tuhan.

“Sejak Bidaah tahun lalu, bermacam-macam tohmahan saya terima, kononnya saya menjatuhkan imej Islam dan orang beragama.

Saya tak peduli apa orang kata, nawaitu saya hanya Allah sahaja tahu. Sesungguhnya, apa yang saya buat adalah untuk ingatkan diri dan semua orang bahawasanya apabila kita nak mengangkat seseorang itu tak kisahlah Gus ke atau Walid, jangan sewenang-wenangnya.

“Misalnya, lelaki berhak untuk tiduri mana-mana wanita, tapi mereka (wanita) juga berhak untuk menolak. Kalau perempuan ‘memberi’, adakah kita nak salahkan guru itu semata-mata atau bagaimana?

“Kaum lelaki, kelemahannya adalah perempuan. Perempuan pula lemahnya pada harta atau perihal kebendaan. Di mata penonton pula, mereka hanya lihat benda yang kontroversi tanpa memahami maksud tersirat cuba saya sampaikan,” katanya kepada HibGlam.

Pengarah Terbaik Festival Filem Antarabangsa Pyongyang ke-7 itu menambah, tujuannya berkarya adalah untuk bereksperimen dan memberi ‘sesuatu’ kepada masyarakat.

“Ada yang kata saya nak jatuhkan agama, gila ke saya ini?

“Daripada saya buat cerita penyondol tak habis-habis, lebih baik saya buat sesuatu yang lebih bermanfaat.

Saya boleh je buat cerita penyondol sampai bila-bila sebab rating tinggi tapi sekurang-kurangnya, buat cerita macam Gus dan Walid, ada sikit peratus saya sedarkan masyarakat bahawa wujudnya manusia-manusia yang bertopengkan syaitan,” katanya.

Baru-baru ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesan 10 ajaran sesat yang masih aktif bergerak dan sedang dalam perhatian dan pemantauan.

Sesat sampai yang mengaku Rasul dan meniduri perempuan. Jadi, adakah cerita saya bikin sekadar dongengan sampai orang nak marah sangat?

“Apa yang saya paparkan adalah kisah benar dan sedang berlaku di luar sana. Fikirlah dengan hati yang terbuka,” ungkapnya.

Erma kini hadir dengan dua drama sensasi iaitu Jangan Panggil Aku Gus untuk tayangan aplikasi Karya Reels dan Walid terbitan platform penstriman, Viu Malaysia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok