PELAKON Diana Rafar mengakui kecaman dan komen negatif orang ramai pernah membuatkannnya terfikir untuk berhenti membantu golongan yang ingin memeluk agama Islam.
Diana, 44, berkata, pelbagai kritikan diterima sehingga emosi terjejas namun dia kembali bersemangat selepas diberi bantuan dan sokongan pihak Jabatan Agama, mufti dan golongan pendakwah.
“Ramai kecam dan mempertikai kredibiliti saya untuk Islamkan orang serta berbicara tentang agama sedangkan saya hanya manusia biasa serta pendosa.
“Saya juga tak pernah cakap diri sempurna, hanya sudah mensyahadahkan orang.
“Namun ini adalah salah satu cara yang saya lakukan untuk dekatkan diri dengan Allah SWT,” katanya yang ditemui pada majlis berbuka puasa Rumah Lauk, Putrajaya baru-baru ini.
Katanya, sokongan dan kata-kata semangat daripada beberapa pihak membuatkannya terus yakin untuk membantu lebih ramai individu memeluk Islam.
“Pihak Jabatan Agama dan beberapa ustaz banyak bantu saya membina semula keyakinan dalam perjuangan ini.
Satu hal saya belajar, tak perlu tunggu jadi manusia sempurna atau ada gelaran seperti ustazah untuk sebarkan benda baik,” katanya lagi.
Kongsinya lagi, keterujaan segelintir individu mendengar perkongsiannya tentang keindahan Islam antara sebab dia terus bersemangat meneruskan usaha itu ketika ini.
“Setiap kali saya cerita tentang Islam, ramai yang seronok. Jadi, kenapa perlu saya berhenti, putus asa dan malu?
Sebelum ini memang rasa sedih sebab ramai kecam. Macam-macam kata negatif dilemparkan seperti ‘dia bukan ustazah’ dan mempertikai kelayakan saya.
“Namun sekarang saya tidak lagi patah semangat, Alhamdulillah hati semakin tenang,” jelasnya.
Terdahulu, HibGlam pada Januari lalu melaporkan Diana kini sudah mengislamkan seramai sembilan orang mualaf sejak tahun 2022.
Menurut Diana, usahanya itu memberi kepuasan luar biasa selain membawa banyak perubahan positif dalam kehidupannya.
Ketika ini, Diana menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Hidayah Centre Foundation yang membantu menguruskan dokumentasi seperti pertukaran agama dalam kad pengenalan dan urusan berkaitan. – HIBGLAM
