‘Saya trauma, dia ‘screenshot’ mesej muat naik dalam IG Story’

ENGGAN terburu-buru mencari pasangan, pelakon Jaa Suzuran mengakui masih trauma dimalukan hanya kerana menghulurkan salam perkenalan dengan cara sopan kepada seseorang.

Jaa atau nama sebenarnya Mohammad Faizal Ahmad, 32, berkata, wanita terbabit memuat naik tangkap layar mesej dikirimkan ke media sosial yang mencetuskan perasaan bimbang andai perkara sama berulang.

“Bukan cerewet, sebenarnya terselit rasa takut kerana pengalamana lalu. Sampai kadang-kadang bila jumpa orang yang kita suka, takut nak cuba sebab pernah dimalukan.

Waktu itu saya cuma mesej ‘Hai, Assalamualaikum’ saja. Ikhlas nak berkenalan. Tapi dia screenshot dan muat naik di Instagram Story dan cakap ‘nak try lah itu’.

“Kalau tak nak layan, tak perlu balas, tak perlu screenshot. Saya jadi trauma,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Tiket Sehala di Majestic Marine Confetti, semalam.

Lebih selesa tidak mendedahkan identiti individu berkenaan, menurut Jaa wanita terbabit bukan dalam kalangan rakan selebriti.

Ditanya mengenai tindakan adiknya, Raa Suzuran yang cuba mencari calon kakak ipar menerusi platform Thread, kata Jaa perkara tersebut hanya gurauan.

“Memang saya tak buka atau baca pun komen Threads itu. Reaksi mereka pun tampak macam nak menyahut hal calon kekasih secara gurauan.

Mana ada perempuan yang sanggup tawarkan diri jadi kekasih. Tak logik. Perempuan pun ada ego. Mereka takkan ‘jual’ diri begitu saja,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai filem Tiket Sehala, akuinya kisah aksi berkisar sindiket pemerdagangan manusia yang menggabungkan pelakon dari empat negara termasuk Thailand, Indonesia serta Korea Selatan cukup mencabar.

Saya membawakan watak Taqy iaitu pempengaruh yang mempromosikan skim kerja di luar negara sekali gus perlu melakukan banyak babak sukar.

“Bekerja dalam cuaca sejuk selama sebulan di Korea Selatan sekitar Disember lalu turut menyuntik cabaran tersendiri namun berbaloi,” ujarnya.

Mengambil latar Malaysia dan Korea Selatan, filem yang bakal ditayangkan pada Ogos depan turut dibintangi Sharifah Sakinah, Noki K-Clique, Hasnul Rahmat dan Zaki Yamani. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok