‘Bila nak pulangkan duit?’ – Linda Rafar depresi ditipu setengah juta

PELAKON dan penyanyi Linda Rafar mendedahkan kesihatan mentalnya terjejas sehingga mengalami depresi selepas mengalami kerugian sebanyak RM500,000 susulan ditipu individu berpangkat datuk baru-baru ini.

Menurut Linda atau nama sebenarnya Azlinda Abdul Rafar, 48, dia mengalamani kemurungan sehingga perlu menerima rawatan dan mengambil preskripsi ubat daripada doktor.

“Seumur hidup, ini kali pertama saya berdepan situasi ditipu begini. Impaknya sangat besar sehingga alami tekanan dan kemurungan.

Di depan orang ramai saya cuba nampak okey tetapi realitinya saya terpaksa makan ubat selama tiga hari berturut-turut sebab nafas saya seolah-olah seperti berhenti ketika tidur.

“Saya terlalu fikir bila dia nak bayar dan pulangkan duit saya? Sampai tidur pun jadi tidak tenang dan rasa seperti diganggu,” katanya ketika ditemui semasa majlis berbuka puasa di Rumah Lauk, baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, kemurungan yang dilaluinya juga disebabkan kecewa kerana kepercayaan yang diberikan menerusi pinjaman hampir setengah juta terhadap individu golongan kenamaan dibalas rasa kecewa.

“Saya kenal dan dia berkawan dengan golongan VIP serta orang berpengaruh.

Itu yang buat saya lebih yakin nak beri pinjam duit. Kalau orang biasa, mungkin kita fikir dia tak ada duit nak bayar semula,” katanya lagi.

Dia turut memaklumkan sudah melantik peguam untuk mewakilinya bagi menyelesaikan isu pinjaman tidak berbayar dengan individu terbabit.

Dalam pada itu, isteri kepada pelakon Syed Aiman itu turut memberitahu kerugian wang hampir setengah juta membuatkan hasratnya untuk menghulur batuan kepada golongan kurang berkemampuan tergendala.

“Saya ada niat nak bersedekah kepada keluarga susah dan bantu pusat tahfiz.

Niat memang banyak ke arah kebaikan tetapi disebabkan benda ini, semuanya tak jadi. Itu yang buat saya lagi kecewa dan murung.

“Saya juga terpaksa batalkan rancangan nak bawa anak-anak pergi umrah dan bercuti ke London. Mereka tanya kenapa batal, saya beri alasan ada penggambaran sedangkan tak ada. Kasihan mereka,” jelasnya.

Terdahulu, Linda pada Januari lalu berang apabila mendakwa terdapat individu berpangkat datuk masih belum memulangkan wang yang dipinjamkan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok