BIDUANITA Negara, Datuk Siti Nurhaliza menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang menghina kitab suci al-Quran.
Siti, 47, berkata, secara peribadi dia amat terkesan dengan tindakan seorang individu bertindak memijak kitab suci tersebut baru-baru ini sehingga mencetuskan kemarahan umar Islam di negara ini.
Saya secara peribadi amat terkesan dan berdukacita dengan tindakan melampau seorang individu yang tergamak menghina serta memijak naskhah suci al-Quran, sebagaimana yang tular baru-baru ini.
“Perbuatan tersebut melukiskan gambaran hilangnya nilai adab dan hormat dalam diri manusia yang jika dibiarkan akan merosakkan moral generasi akan datang,” katanya dalam InstaStory hari ini.
Tambahnya, individu itu perlu diberikan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
“Negara kita ada undang-undang dan peraturan yang jelas.
Justeru, kami berharap agar perbuatan si pelaku dikenakan tindakan serta hukuman yang setimpal mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” jelasnya.
Dia turut memuat naik foto memeluk al-Quran sebagai tanda protes terhadap tindakan terkutuk insiden tersebut.
Baru-baru ini, kecoh apabila seorang penuntut universiti tempatan ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung penyebaran kandungan berunsur agama, kaum dan institusi diraja (3R) dalam media sosial.
Penuntut lelaki berusia 21 tahun itu direman selama empat hari sehingga hari ini mengikut Seksyen 298 kanun keseksaan kerana melakukan tindakan menghina agama lain.
Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948. – HIBGLAM
