‘Membazir artis baharu buat lagu raya, hasilkan single dulu’

PELAKON dan pemuzik Eric Fuzi menasihati penyayi baharu agar tidak membazirkan wang menghasilkan lagu raya sekiranya nama belum dikenali ramai.

Eric atau nama penuhnya Muhamed Eric Muhamed Fuzi, 34, duit yang dilaburkan untuk lagu raya tersebut sepatutnya digunakan bagi menghasilkan karya lain yang boleh memahat nama dalam dunia nyanyian.

“Adik-adik, jangan bazirkan duit untuk buat lagu raya. Gunakan duit itu buat modal untuk single kalian.

“Lekat dan pakukan identiti karya kalian dulu dengan hasilkan banyak single.

“Kalau mampu buatlah album dan selepas itu baharulah buat lagu raya,” katanya dalam platform Threads hari ini.

Katanya lagi, kebiasaannya lagu raya hanya akan dimainkan dalam tempoh singkat melainkan karya yang dihasilkan bersifat malar segar.

“Lagu raya orang dengar selama dua minggu saja melainkan dia ‘hype’ dan akan ‘evergreen’.

“Kalau lagu raya kalian itu tiada identiti dan bunyi sama macam lagu lain, sudahnya jadi apa?

“Membazir! Selamat berjaya dalam industri yang nazak ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, menjawab pertanyaan netizen mengenai dakwaan industri seni semakin tenat, dia berkata perkara tersebut disebabkan banyak faktor termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin berleluasa.

“Banyak aspek, antaranya AI, kurang peluang persembahan dan slot rancangan di stesen televisyen.

“Saingan sengit dengan artis-artis yang sudah ada nama tapi sanggup buang harga rendah demi kerja serta persembahan, macam-macam,” ujarnya.

Dia yang juga anggota kumpulan Floor88 bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci hantaran tersebut ditujukan kepada mana-mana penyanyi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok