PENCIPTA kandungan kecerdasan buatan (AI) dikenali sebagai Jane In Heaven memaklumkan lagu Cinta Tersimpul Rapi versi groovy pop yang dimuatnaik dalam akaun TikToknya terpaksa diturunkan disebabkan isu hak cipta.
Menurut Jane dalam satu hantaran media sosial, pihaknya akur dengan perkara tersebut dan mengakui kesilapannya kerana menggunakan karya milik orang lain.
“Saya akur dengan situasi ini dan mengakui salah silap daripada pihak saya. Niat asal hanyalah sekadar bereksperimentasi dengan AI dan mengembalikan lagu-lagu lama dengan penyampaian berbeza.
“Namun saya akur niat tidak menghalalkan cara dan saya akan terus menyokong industri muzik tanah air,” katanya dalam akaun media sosialnya.
Tambahnya, dia terharu dengan setiap sokongan yang diberikan orang ramai terhadap lagu-lagu hasil sentuhan AI sehingga tular dalam media sosial baru-baru ini.
“Segala sokongan dan penerimaan daripada kalian dan orang ramai sebenarnya di luar jangkaan saya.
“Saluran tersebut hanyalah ruang kecil untuk saya berkongsi rasa dan hargai semua sokongan. Sekali lagi saya mohon maaf atas salah dan silap daripada pihak Janeinheaven.
“Kepada yang mesej, terima kasih atas semua kasih sayang daripada kalian sekali gus mengetepikan semua kebencian yang diterima.
“Mohon maaf sekali lagi jika tak dapat realisasikan semua permintaan untuk raya ini termasuk juga kalau ada lagu kegemaran yang sudah hilang daripada saluran janeinheaven,” katanya lagi.
Terdahulu, Cinta Tersimpul Rapi nyanyian adal Anis Suraya dan merupakan hasil ciptaan komposer Azmeer manakala lirik oleh Lukhman S yang dilancarkan pada tahun 1999.
Sementara, versi AI yang dimuat naik pada Disember tahun lalu itu berjaya meraih jutaan tontonan di YouTube sebelum diturunkan hari ini. – HIBGLAM
