12 lagu raya, kolaborasi kreatif tiga negara – Iman Troye

RAMADAN bukan sahaja disemarakkan dengan lambakan koleksi baju raya dan segala juadah lazat, malah menjadi medan ‘perang’ buat para selebriti melancarkan karya raya masing-masing.

Jika tahun-tahun sebelum ini peminat hanya disajikan dengan satu atau dua single baharu, namun tahun ini Iman Troye nekad membawa kelainan yang jarang dilakukan mana-mana artis muda seangkatannya.

Menyedari impak lagu raya yang sering menjadi ‘siulan’ sepanjang tahun, pemilik nama lengkap Siti Nur Alyssa Sahabudin tidak mahu sekadar melepaskan batuk di tangga.

Sebaliknya, dia kini dalam misi besar menyiapkan sebuah album khas yang memuatkan deretan lagu raya sebagai hadiah istimewa buat peminat setia yang tidak putus-putus bertanya mengenai karya terbaharunya.

“Saya tengah usahakan dalam pembikinan album untuk lagu raya tahun ini.

Tahun lalu saya keluarkan lima lagu raya tetapi kali ini dalam 10 hingga 12 karya.

“Doakanlah, insya-Allah. Dari segi lagu dah siap 60 peratus. Video muzik masih dalam proses lagi,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelantun lagu Pejam Celik Hari Raya itu, album tersebut bakal melibatkan gabungan tenaga kreatif daripada tiga  negara jiran.

“Saya rasa hari raya adalah hari yang gembira untuk semua orang. Jadi saya rasa ini hadiah daripada saya untuk pendengar-pendengar memandangkan setiap kali jumpa, orang akan tanya ‘Iman ada lagu raya ke tahun ini?’

Jadi saya rasa kenapa tidak buat album terus dan lagu raya ini juga saya akan kolaborasi dengan artis Malaysia, Indonesia serta Singapura.

“Saya rasa album kali ini sangat istimewa sebab kami gabungkan tiga negara. Saya harap semua pendengar gembira,” jelasnya.

MENERUSI album raya yang bakal menemui peminat tidak lama lagi, Iman Troye bekerjasama dengan tenaga kreatif dari Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Menyentuh mengenai momentum kejayaannya tahun lalu, wanita berusia 24 tahun itu mengakui kolaborasi rentas sempadan memberikan impak yang sangat positif terhadap kerjaya seninya.

“Tahun lalu saya sudah berkolaborasi dengan artis Indonesia, Angga. Jadi, tahun ini saya fikir, mengapa tidak teruskan momentum itu.

Video muzik lagu raya terdahulu juga mencecah lebih 200,000 tontonan. Saya anggap ini peluang baik untuk terus mencuba sesuatu yang lebih besar.

“Siapa artis itu belum boleh saya dedahkan, tetapi mereka popular. Lagu mereka berada dalam carta termasuk Carta RIM Top 100 Malaysia dan Top 50.

“Tahun lalu, saya bersama Aliff Syukri, kali ini rahsia dulu. Mungkin ada satu lagu bersama beliau, mungkin juga tidak. Kita tunggu sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, identiti rakan duet untuk tahun ini masih disimpan rapi sebagai elemen kejutan.

Baju RM20

Meskipun bergelar bintang muda yang mempunyai pengaruh besar, Iman rupa-rupanya lebih selesa bersikap rendah diri dalam soal penampilan.

Jelasnya, dia lebih gemar mengeluarkan belanja sendiri bagi menyokong pereka dan peniaga tempatan.

Saya lebih memilih baju klasik. Baju-baju yang saya guna dalam video muzik atau buat persembahan kebanyakannya dibeli sendiri.

“Tak suka minta tajaan sebab saya menghargai koleksi yang orang keluarkan. Saya sokong jenama tempatan termasuk baju raya berharga RM20,” kongsinya semasa mengadakan persembahan pada pertunjukan fesyen di KWC Fashion Wholesale Mall baru-baru ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok