‘Maksimum tiga tahun solo, saya masih trauma’

TIDAK semua anak seni dikurniakan rezeki untuk menjalani penggambaran di Tanah Suci, lokasi yang menjadi dambaan umat Islam seluruh dunia.

Namun, siapa tahu peluang keemasan tersebut diraih Aprena Manrose apabila drama lakonannya, Rindu Medina menjalani penggambaran di sana sekitar Mac tahun lalu.

Bukan kali pertama menjejakkan kaki ke Tanah Suci, pemilik nama penuh Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman berkata, menjalani penggambaran untuk drama tersebut adalah satu pengalaman yang tidak akan dilupakannya.

“Masya-Allah, sangat seronok sebab kerja sambil beribadah. Saya sempat buat umrah dulu pada hari pertama sebelum memulakan penggambaran.

Agak berbeza sebab sebelum ini pergi memang fokus untuk beribadah tetapi kali ini ada keutamaan lain iaitu kerja, Alhamdulillah semua berjalan lancar,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya tentang cabaran sepanjang tempoh penggambaran, dia mengakui fasa tersebut adalah sangat rapuh buat dirinya susulan baru sahaja bercerai dengan bekas suami, Mohd. Afiq Hazman ketika itu.

Kongsinya, jiwa lara dalam dirinya secara tidak langsung membantunya untuk menjiwai watak yang banyak bermain dengan emosi.

“Sebenarnya cabaran yang saya alami adalah sangat peribadi, ketika itu saya baru bercerai dan sedang dalam tempoh idah.

Watak saya banyak bermain dengan emosi. Jadi, mood ketika berlakon dan di dalam realiti itu seperti sama sekali gus memudahkan untuk menjiwai karakter itu.

“Saya harap penonton dapat sama merasai kesedihan itu. Banyak air mata yang gugur sepanjang berada di sana,” kongsi pelakon berusia 33 tahun itu.

APRENA berharap tidak lagi diungkit tentang bekas suami, dia sudah move on dan dan mahu fokus kepada diri sendiri.

Bercerita lanjut, anak kepada bekas penyanyi dangdut, Iwan Syahman itu berkata, berada di Mekah dan Madinah pada tempoh tersebut mengajarnya erti melepaskan dengan hati yang reda.

Akuinya, ketika itu, perasaan mahu menyelamatkan rumah tangga yang sudah berkecai masih bersisa dalam hatinya.

“Kebanyakan doa saya adalah mahu hubungan dengan bekas suami dipermudahkan untuk kembali bersama.

“Saya masih nak cuba perbaiki hubungan sebab tiada pasangan berkahwin yang nak bercerai. Selepas 14 tahun bergelar isteri, saya tak boleh bayangkan bagaimana hidup tanpa suami.

Kuasa Allah, bila saya pulang ke Malaysia, Dia hadirkan rasa berbeza, reda dengan semua yang sudah terjadi dan saya cakap pada diri sendiri, cukuplah sampai di sini sahaja,” tuturnya.

Aprena juga berharap tiada lagi pertanyaan mengenai rumah tangga atau bekas suami diajukan kepadanya yang sudah memulakan hidup baharu.

“Saya harap tidak lagi ditanya mengenai hal perceraian pada tahun ini, nak move on dan fokus pada diri sendiri sahaja.

Keutamaan saya juga adalah kerja, ada banyak watak yang nak dicuba dan tidak puas lagi berkarya. Ini masa untuk saya beri lebih kepada diri sendiri, insya-Allah,” katanya lagi.

Sempat diusik sama ada hatinya tertutup untuk mengenali dan menerima orang baharu dalam hidup, pelakon drama Hatimu Sedingin Salju itu memberitahu perkara tersebut masih terlalu awal buatnya.

“Saya ada berkenalan dengan beberapa orang tapi sekadar kawan, rasa itu belum ada, mungkin masih trauma dan terlalu baru pun.

“Sekarang 100 peratus untuk diri sendiri tapi mungkin paling maksimum (tempoh solo) adalah tiga tahun maknanya ketika itu umur saya, insya-Allah doakanlah,” ujarnya lagi.

Selain Aprena, Rindu Medina yang bakal ditayangkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) TV1 turut dibintangi Amy Nurtinie dan Johan As’ari.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok