Mahu istiqamah, dapatkan husnul khatimah – Mulan Jameela

KEKAL menutup aurat dengan sempurna sejak 2018, penyanyi yang dulunya terkenal dengan imej erotik iaitu Mulan Jameela mengakui istiqamah itu bukan suatu perkara mudah.

Bagaimanapun, bekas anggota kumpulan Ratu itu bersyukur urusannya menjaga tertib aurat dipermudahkan sehingga ke hari ini sekali gus berharap hidupnya berakhir dengan husnul khatimah.

“Berhijab buat saya semakin berhati-hati dalam melakukan sesuatu (perkara) atau segala hal yang keluar dari bibir.

Saya masih bersosial dan ramai kawan tapi tetap ada batasannya. Yang penting, saya sekarang dekatkan diri dengan ilmu agama.

“Insya-Allah tujuan saya sama seperti setiap Muslimah lain iaitu untuk istiqamah dan mendapatkan husnul khatimah,” katanya kepada HibGlam pada sidang media konsert Dewa 19: Cintaku Tertinggal di Malaysia di restoran lima bintang, Java Rock Restography, Jakarta, baru-baru ini.

Kini menggalas banyak tanggungjawab termasuk isteri, ibu dan wakil rakyat, ketika ditanya sama ada pernah terbit rasa kerinduan terhadap dunia muzik, Mulan tidak menafikan hal itu.

Begitupun menurutnya,  tujuan hidup kini sudah tidak lagi berkiblatkan hal keduniaan, sebaliknya mencari reda Allah SWT.

“Saya sekarang banyak habis masa di Parlimen. Undangan nyanyian saya tidak terima terlalu banyak walaupun masih saja buat persembahan.

Tapi kalau tanya kangen (rindu) atau tidak, saya orangnya ‘let it go’ sahaja, tidak terlalu kalau rasa ingin menyanyi, terus ingin menyanyi macam dulu. Banyak tuntutan hidup lain yang membuatkan rasa sentiasa sibuk,” katanya lagi

Mulan yang cukup dikenali menerusi antem Makhluk Tuhan Paling Sexy kini berkhidmat sebagai ahli politik selepas dilantik untuk penggal kedua sebagai Ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) daripada Parti Gerindra, mewakili Jawa Barat sejak 2019.

Susuk kelahiran Garut, Jawa Barat itu dikurniakan empat anak kandung dari dua pernikahan iaitu Tiara Savitri dan Muhammad Rafly Aziz hasil pernikahan dengan Harry Nugraha, serta Safeea Ahmad dan Muhammad Ali (pernikahan dengan Ahmad Dhani). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok