BERPRINSIP, pelakon Kamal Adli mengakui menjaga adab serta kelakuan selepas bercerai dengan bekas isteri juga aktres, Uqasha Senrose pada Januari lalu.
Kamal atau nama lengkapnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, berkata, dia turut menjaga batas pergaulan terutama dengan wanita meski ketika bekerja.
“Dalam tempoh sekarang ini memang perlu jaga semua perkara kan? Walaupun ketika bekerja kan? Walaupun pihak sana dalam idah.
“Sehabis baik menjaga semua. Buat lawak buat bahagia. Tak cuba mahu rapat-rapat dengan mana-mana perempuan walaupun bukan waktu bekerja,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Katanya, fokus utama kini hanya kepada anak tunggalnya, Hawra Uqaira sekali gus menegaskan tidak terdetik melakukan perkara kurang bermanfaat.
“Yang ada cuma anak saja dan bukan mahu menggedik di mana-mana tempat,” ujarnya.
Pada masa sama, Kamal menyatakan sukar untuk menelan segala keperitan hidup selepas berpisah dan berterima kasih kepada netizen yang membuatkan harinya kembali indah.
“Pendam ini sakit juga ya. Rakyat, terima kasih sentiasa temankan saya. Allah rahmati semua orang.
“Saya doakan kalian semua kaya raya dan bahagia. Saya terlalu sayangkan Hawra,” katanya.
Menerusi ruangan komen, ramai peminat meluahkan rasa kagum dengan sikap Kamal yang menghormati tempoh idah dijalani bekas isterinya.
“Kami tahu Kamal memang sayang sangat dengan Hawra. Walaupun tidak berada di situasi, kami sentiasa doakan yang terbaik untuk kehidupan Kamal sekeluarga,” kata seorang netizen.
“Dengar itu. Ini baru lelaki hebat. Hormat waktu idah bekas isteri. Kamal, kami doakan semoga dipermudahkan segala urusanmu dan semoga doa-doa mu dimakbulkan Allah SWT. Aamiin,” ujar pemilik akaun Threads lain.
Terdahulu, Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada November 2021 dan dikurniakan seorang puteri, Hawra Uqaira yang kini berusia 22 bulan. – KOSMO! ONLINE
