PELAKON Anzalna Nasir mengakui setiap kali berbuka puasa hatinya tersentuh mengenangkan ramai insan kurang bernasib baik bergelut menikmati hidangan sempurna.
Atas rasa belas itu, Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Md. Nasir, 38, berkata, dirinya berhasrat menghulurkan sumbangan kepada keluarga memerlukan sepanjang Ramadan.
“Setiap kali berbuka puasa dan melihat hidangan di atas meja, hati saya pasti teringat mereka yang mungkin tidak berpeluang menikmati rezeki sama.
Jika ada sesiapa mengenali keluarga benar-benar memerlukan bantuan, boleh mesej peribadi kepada saya atau maklumkan, ya,” katanya dalam Threads.
Tambah pelakon drama Dendam Aurora itu, bantuan kali ini dilakukan secara lebih dekat dan peribadi kerana mahu menyaksikan sendiri keadaan penerima serta memastikan sumbangan sampai kepada golongan tepat.
“Kali ini, bantuan hanya tertumpu sekitar Kuala Lumpur kerana saya mahu turun padang dan menyampaikannya sendiri.
Semoga usaha kecil ini dapat meringankan beban serta memberi peluang mereka menikmati juadah enak ketika berbuka,” ujarnya.
Perkongsian tersebut mengundang rasa sebak dan kagum dalam kalangan netizen, malah ramai memuji keprihatinan ibu dua anak itu terhadap nasib masyarakat.
“Masya-Allah, baiknya Anzalna. Semoga rezeki sentiasa dilimpahkan buat awak sekeluarga.
“Semoga Allah membalas kebaikan Anzalna berlipat ganda. Ramai sangat memerlukan bantuan seperti ini,” tulis netizen.
Ada juga pengikut tampil mencadangkan beberapa keluarga memerlukan selain mendoakan agar usaha murni tersebut menjadi inspirasi kepada orang ramai untuk turut berkongsi rezeki sepanjang bulan penuh keberkatan ini. – HIBGLAM
