TAMPIL dengan koleksi tudung dan baju raya jenama sendiri, pelakon Mimi Lana menyedari hasrat suaminya, Syafiq Kyle yang ingin melihatnya menutup aurat dengan sempurna.
Mimi atau nama lengkapnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 30, berkata itu antara ilham ketika memulakan perniagaan baju raya bawah nama Sajiwa yang diharap membuka pintu hatinya untuk berhijab.
“Sajiwa ini asalnya nak keluarkan baju Melayu dan tudung untuk koleksi raya tahun 2022.
“Syafiq nak sangat saya keluarkan tudung. Katanya boleh mula cuba-cuba jual dulu mana tahu nanti terbuka hati nak pakai kekal,” katanya dalam Threads.
Pada hantaran tersebut Mimi turut berkongsi klip video belakang tabir penggambaran bagi promosi persalinan yang dihasilkan. Dalam video sama Syafiq juga memberikan butiran koleksi baju Melayu dan baju kurung jenama mereka.
Begitupun, pelakon filem Pusaka itu bimbang jika rekaan keluaran syarikat yang diusahakan bersama suami tidak memehuhi kehendak pelanggan.
Menurutnya, bagi musim Syawal tahun depan mereka cuba tampil bersama rekaan lebih bersesuaian dengan wanita berhijab.
“Kain semua dah ada. Tapi takut sebab risau tak kena dengan cita rasa orang yang bertudung.
“Tahun depan saya cuba lagi, mudah-mudahan,” ujarnya yang genap dua tahun bersuamikan Shafiq sejak Februari tahun lalu.
Dalam ruangan komen, ramai netizen memuji langkah pasangan terbabit termasuk turut mencadangkan koleksi tudung bersesuaian untuk Mimi.
Pada masa sama, rata-rata turut mendoakannya terbuka hati untuk berhijab dan terus istiqamah dalam melayari kehidupan.
“Memang secara tidak langsung si dia ingin anda bertudung. Sangat bagus mempunyai seseorang yang mendorong anda ke arah kebaikan,” tulis netizen. – HIBGLAM.
