Kami berhajat jelajah masjid tunai solat tarawih – Erra Fazira

PASANGAN pengantin baharu, Erra Fazira dan suami, Ezwan Zain merancang melakukan jelajah masjid untuk menunaikan ibadah solat sunat tarawih sepanjang Ramadan tahun ini.

Menurut Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 52, setelah sekian lama menjalani ibadah di bulan Ramadan sendirian, kini dia bahagia ada suami menemani rutin hariannya sepanjang bulan mulia itu.

“Sebenarnya jadual kerja saya agak padat sejak kami berkahwin. Kerja ‘back to back’. Ada konsert lagi.

Suami pun sibuk menguruskan bisnes kafe. InsyaAllah kami berhajat untuk melakukan jelajah ke masjid-masjid untuk menunaikan solat tarawih.

“Sewaktu saya buat podcast Kasi Onz ustaz ada berkata lebih afdal kalau berjemaah bersama,” katanya kepada HibGlam.

Sementara itu Ezwan mengakui teruja berbuka puasa dan bersahur bersama isteri tercinta setelah sekian lama masing-masing hidup bersendirian.

“Perasan itu lebih kepada teruja. Erra pun dah lama berbuka puasa seorang diri. Kali ini ada peneman.

“Saya sejenis orang yang ringkas. Saya makan apa sahaja yang disediakan isteri sewaktu sahur mahupun berbuka. Lagipun hanya kami berdua di rumah. Aleesya akan datang kadang-kadang,” jelasnya.

Untuk rekod Erra dan Ezwan berkahwin pada 12 Disember 2025 dalam sebuah majlis yang berlangsung di Rinjani Majestic Kampung Melayu Subang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok