PENYANYI meningkat naik Thalita bersyukur dikurniakan ibu tiri iaitu Watie Hanifiah yang menjaganya seperti anak kandung.
Menurut Thalita atau nama penuhnya Dzahira Talita Zahra binti Shahmira, 13, kehadiran Watie dalam hidupnya memberi makna besar dan mengajarnya untuk menjadi insan lebih baik.
Kata-kata penghargaan itu dizahirkan Thalita sempena ulang tahun kelahiran Watie baru-baru ini.
“Saya nak cakap terima kasih sebab mummy jadi ibu tiri yang tak pernah kedekut dan membantu bila daddy tengah susah.
Saya sangat sayang mummy. Tanpa mummy saya rasa tak boleh sekuat dan sematang ini.
“Hanya mummy saja tempat saya meluahkan perasaan,” katanya dalam satu hantaran TikTok.
Bekas peserta program Talk To My Manager itu juga mengakui tidak pernah mengambil hati setiap kali dibebel Watie.
“Walaupun mummy selalu membebel, saya tetap sayang sebab tahu semua ini salah dan untuk kebaikan sendiri.
Tata mintak maaf sebab banyak susahkan dan buat salah dengan mummy.
“Daddy tengah susah, mummy tolong. Saya janji satu hari nanti akan balas semula kebaikan mummy,” katanya lagi.
Lebih menyentuh perasaan, dia turut memohon maaf sekiranya masih belum mampu menjadi seorang anak yang baik buat Watie selama ini.
“Saya sangat bersyukur ada mak tiri yang macam mummy dan sudah anggap seperti mak kandung sendiri.
Selamat hari jadi mummy sayang. Minta maaf kalau saya tak dapat menjadi anak seperti yang mummy inginkan selama ini.
“Minta maaf kalau banyak dosa dengan mummy,” ujarnya.
Terdahulu, Shuib dan Watie mendirikan rumah tangga pada Jun 2023, dua tahun selepas pemergian isteri tercinta, Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin pada 2021.
Hasil perkahwinan dengan Siti Sarah, Shuib dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, Thalita, Ariq Matin dan Ayash Affan.
Sementara pada Disember lalu, Shuib mengesahkan Watie berbadan dua yang difahamkan usia kandungan kini sudah memasuki tujuh bulan. – HIBGLAM
