GARA-GARA perlu membuka tudung, pelakon dan penyanyi Elly Mazlein pernah menolak tawaran kerja bernilai RM500,000 bagi mempromosikan sebuah produk.
Tegas Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 45, dia tidak akan sesekali mengorbankan prinsip hidupnya yang kini tampil berhijab.
“Saya dapat satu tawaran masa mula-mula berhijab dulu. Memang lumayan, sampai setengah juta ringgit, tetapi syaratnya saya perlu buka tudung.
“Selepas saya buat keputusan untuk berhijab, walaupun dibayar macam mana sekali pun, saya tetap dengan keputusan saya,” katanya.
Jelas Elly, pihak berkenaan membuat tawaran dan syarat berkenaan meskipun mengetahui statusnya sebagai wanita bertudung.
Justeru, dia menolak peluang tersebut dengan baik agar tidak menimbulkan salah faham.
“Mereka tahu saya sudah bertudung, sebab itu mereka letak harga setengah juta. Tapi saya beritahu saya tidak dapat bekerjasama kalau perlu buka tudung.
“Sekiranya mereka mahu saya jadi duta, prinsip saya tetap akan memakai tudung. Saya percaya akan ada rezeki untuk saya ditempat lain.
“Alhamdulillah, mereka terima keputusan saya selepas menolaknya secara berhemah,” tuturnya lagi.
Dalam pada itu, Elly turut berpesan agar mana-mana syarikat atau jenama tidak memandang rendah keupayaan wanita berhijab sebagai duta produk.
“Tidak salah kalau pilih duta yang bertudung. Rezeki saya mungkin bukan di situ, tapi Allah gantikan dengan yang lain.
“Paling penting sekarang saya kekal dengan prinsip saya untuk terus berhijab,” luahnya ketika ditemui pada Warna Lebaran Ariani Fashion Show 2026 yang berlangsung Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Elly yang merupakan duta Ariani Luxe 2026 bersyukur kerana jenama berkenaan bersikap terbuka dengan permintaannya untuk mengekalkan gaya pemakaian tudung patuh syariah.
“Alhamdulillah, ini tahun pertama saya bersama Ariani dan ketika menerima tawaran ini mereka terbuka untuk saya mengekalkan pemakaian tudung patuh syariah. Inilah cara dan gaya saya,” ujarnya.
Selain Elly, jenama Ariani turut melantik Bront Palare, Mira Filzah, Bella Dally, Qasrina Karim, Elisya Sandha, Cik Epal, Ammar Azman dan Madnor sebagai duta untuk kempen raya tahun ini. – HIBGLAM.
