Walid bukti fizikal bukan ukuran hero filem aksi – Megat Sharizal

PELAKON, Megat Sharizal, 41, berharap pengarah tidak bersikap diskriminasi terhadap pelakon berusia dan bertubuh besar.

Menurut Megat atau nama sebenarnya Megat Sharizal Mohamed Yusoff, Malaysia mempunyai banyak pelakon berbakat yang mempunyai asas pertarungan sekali gus berkebolehan menjayakan filem aksi.

“Saya berpendapat pengarah filem aksi cukup-cukuplah ambil ‘abang sado’ untuk berlakon.

“Contohi filem Walid yang menampilkan hero yang biasa kita lihat di luar sana. Jadi, pelbagaikanlah pelakon kita. Tidak bermakna kalau tua dan gemuk, tidak boleh jadi pelakon aksi,” katanya yang pernah tiga kali mewakili Kuala Lumpur dalam pertandingan Silat Gayong peringkat kebangsaan pada1998.

Menurut Megat, sepanjang 20 tahun berkecimpung dalam industri hiburan, ini kali pertama dia ditawarkan sebagai pelakon utama.

“Sepanjang 20 tahun, tidak pernah saya menjadi watak utama. Awalnya bila pengarah menawarkan karakter Walid, saya terkejut.

“Bagi saya, lakonan adalah amanah. Saya kena bertanggungjawab sebagai teraju utama membawa naskhah ini. Jadi, saya buat betul-betul,” ujarnya pada majlis sidang media dan tayangan filem Walid baru-baru ini.

SELEPAS 20 tahun dalam industri, Megat akhirnya dapat tampil sebagai watak utama buat pertama kalinya menerusi filem Walid.

Bercerita mengenai pengalaman sepanjang penggambaran filem itu, Megat mendedahkan pernah dijangkiti Covid-19, sekali gus membuatkan pernafasannya terganggu lebih-lebih lagi ketika melakukan babak aksi.

“Malangnya, semua adegan aksi saya lakukan selepas terkena Covid.

“Jadi memang rasa tidak selesa pernafasan. Selain itu, aksi semua tiada masalah kerana kebanyakan pelakon memang mempunyai asas silat,” tambahnya.

Walid terbitan Layar Pictures mengangkat kisah penculikan kanak-kanak membabitkan sindiket pemerdagangan manusia.

Filem arahan Areel Abu Bakar itu  mengetengahkan pasukan silat Malaysia melakukan semua aksi dalam filem berkenaan Walid ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 14 September 2023. – SUMBER UTUSAN MALAYSIA

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok