Shamsul Ghau Ghau selamat jalani pembedahan, anak mohon doa orang ramai

PELAKON dan pengacara terkenal, Shamsul Ghau Ghau selamat menjalani pembedahan selepas dimasukkan ke hospital akibat serangan strok, malam tadi.

Perkembangan terkini itu dimaklumkan oleh anaknya, Megat Ummar Azhar menerusi hantaran dalam media sosial sekali gus meredakan kebimbangan orang ramai terhadap keadaan bapanya.

Katanya, Shamsul atau nama sebenarnya Shamsul Azahar Aliddin, 57, kini berada dalam keadaan stabil selepas prosedur pembedahan selesai dilakukan.

“Salam semua, saya anak kepada Pak Su Shamsul ingin memaklumkan bapa saya baru sahaja selesai menjalani pembedahan.

“Alhamdulillah keadaannya stabil dan berada dalam keadaan baik.

“Terima kasih atas perhatian serta doa daripada semua pihak,” kongsinya.

Perkongsian tersebut pantas mengundang reaksi rakan artis serta peminat setia apabila ruangan komen dibanjiri doa agar artis serba boleh berkenaan kembali pulih seperti sediakala.

“Semoga Pak Su cepat sembuh dan dipermudahkan segala urusan,” tulis seorang pengguna media sosial.

“Doa berterusan buat Shamsul, moga kembali sihat seperti dahulu,” komen netizen lain.

Tidak kurang juga rakan seperjuangan dunia seni tampil menitipkan kata semangat selain memohon orang ramai terus mendoakan kesembuhan aktor berkenaan.

Terdahulu, Shamsul dilaporkan menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Serdang selepas mengalami pendarahan beku pada bahagian otak.

Maklumat tersebut dikongsikan rakan artis, aktres Sheila Mambo selepas menerima berita daripada isteri Shamsul sendiri. — HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok