MEMBERI bayangan bakal berkolaborasi dengan rakan seperjuangan, Yasin Sulaiman dan Zizi Kirana, hantaran penyanyi dan komposer, Malique Ibrahim mencetuskan keterujaan peminat.
Dipercayai karyanya diberikan judul Yang Tinggal, perkongsian bekas anggota Too Phat itu di laman sosial merupakan satu berita dinantikan ramai.
Perkongsian tersebut adalah menerusi paparan dalam sebuah nota yang tercatat namanya bersama kedua-dua penyanyi terbabit serta Februari 2026 dipercayai tarikh pelancaran lagu tersebut.
Biar tanpa sebarang perincian, rata-rata netizen yakin bingkisan ringkas dalam buku nota ditonjolkan dalam Instagramnya itu sebagai hebahan untuk projek baru.
Bahkan, caranya menulis tangan bagi perkongsiannya sebagai sesuatu yang peribadi serta bermakna menunjukkan keistimewaan serta keunikannya sebagai penghibur dengan personaliti tersendiri.
“Macam ini saja cara seorang legenda mengumumkan keluar single baru,” tulis seorang pemilik akaun Instagram.
Sejak aktif semula di media sosial sejak setahun lalu, status Malique atau gelarannya Mr. General sememangnya sering ditunggu-tunggu.
Apatah lagi selepas pembubaran Too Phat pada 2007, dia menghilang lama hilang dari radar seni namun selesa melakukan kerja belakang tabir. – HIBGLAM
