FILEM seram berunsur sejarah, Sinners memecahkan rekod sepanjang zaman Anugerah Academy apabila meraih pencalonan terbanyak dalam 16 kategori pada majlis pengumuman yang berlangsung di Los Angeles, malam tadi.
Naskhah menonjolkan isu perkauman dengan entiti penghisap darah atau puntianak sebagai subjek utama itu memperoleh pencalonan dalam hampir semua kategori utama termasuk Filem Terbaik.
Sekali gus, filem arahan Ryan Coogler menenggelamkan rekod Oscar terdahulu dengan 14 pencalonan yang dikongsikan Titanic, La La Land dan All About Eve.
Pelakon utamanya, Michael B. Jordan, 38, mendapat pencalonan Pelakon Lelaki Terbaik pertamanya selepas lebih dua dekad dalam industri seni.
Sebelum ini sutradara berusia 39 tahun itu pernah menyatakan ada pihak skeptikal dengan cerita diketengahkan namun mula membuka mata apabila kutipan di seluruh dunia mencecah AS$360 juta atau RM1.4 bilion.
Menyusul dengan kutipan terbanyak adalah One Battle After Another dengan 13 pencalonan diikuti Marty Supreme, Frankenstein dan Sentimental Value, masing-masing sembilan selain Hamnet (8).
Filem genre drama aksi One Battle After Another memberi saingan sengit bagi kategori Filem Terbaik selain Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Leonardo DiCaprio dan Pengarah Terbaik, Paul Thomas Anderson.
Namun, pelakon utama wanitanya juga artis baharu, Chase Infiniti, 25, yang dijangka lolos untuk kategori wanita tidak dicalonkan ahli Academy of Motion Picture Arts and Sciences.
Naskhah makhluk aneh arahan Guillermo del Toro, Frankenstein, filem lakonan Timothée Chalamet Marty; Supreme, serta Sentimental Value, juga dikatakan berpotensi membawa pulang banyak Oscar.
Manakala Hamnet yang merupakan, drama sejarah mengisahkan William Shakespeare dan isterinya berdepan kehilangan anak mereka di England yang dilanda wabak turut memberikan saingan.
Walaupun Sinners mendahului jumlah pencalonan, One Battle After Another kekal sebagai calon pilihan utama untuk menggondol gelaran Filem Terbaik selepas meraih hampir semua kemenangan di beberapa majlis anugerah musim ini.
Filem thriller itu berkisar seorang bekas revolusioner yang mencari anak perempuan remajanya dengan dilatari era keganasan radikal dan kumpulan pelampau kulit putih.
Naskhah tersebut juga memecahkan rekod pencalonan sepanjang zaman daripada Kesatuan Pelakon Skrin Hollywood.
Menerusi kategori pelakon utama lelaki, Caprio, Chalamet dan Jordan bakal beradu nasib bersama Ethan Hawke (Blue Moon) serta Wagner Moura (Brazil The Secret Agent)
Bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik, Buckley akan bersaing dengan Emma Stone yang melakonkan watak makhluk asing dalam Bugonia, serta Renate Reinsve (Sentimental Value) Kate Hudson (Song Sung Blue), serta Rose Byrne (If I Had Legs I’d Kick You).
Sementara itu, Sentimental Value dan The Secret Agent masing-masing turut dicalonkan dalam kategori Filem Terbaik.
Namun, pemenang Palme d’Or berbahasa Parsi iaitu It Was Just An Accident yang tercicir daripada pencalonan kategori utama bakal bersaing dalam untuk Filem Antarabangsa Terbaik, bersama Sirat serta drama dokumentari Palestin, The Voice of Hind Rajab.
Terdahulu, penganjur memaklumkan kemuncak majlis pengiktirafan tahunan bagi edisi ke-98 itu dijadualkan berlangsung pada 15 Mac depan.- HIBGLAM
