PENYANYI dan pengacara, Elly Mazlein terharu menerima pujian daripada pendakwah bebas, Ustazah Asma Harun mengenai gaya pemakaian tudungnya yang dikatakan sopan dan patuh syariah Islam.
Menurut Elly atau mesra disapa Kak Lina, 45, pujian diterima memberi impak besar buat dirinya selain menganggap sebagai satu bentuk doa yang menguatkan semangat untuk terus istiqamah dalam menjadi seorang Muslimah lebih baik.
“Apabila menerima pujian daripada seorang agamawan, saya mengakui berasa sangat terharu. Kata-kata pujian dan doa yang diberikan membuatkan saya rasa dihargai.
“Saya benar-benar bersyukur dan mengucapkan terima kasih. Bagi saya, kata-kata itu merupakan satu doa dan berazam untuk terus berusaha menjadi seorang Muslimah yang terbaik,” katanya pada majlis pertunjukan fesyen Jakel Raya 2026 di sini, semalam.
Dalam pada itu, pelakon drama Manjalara itu mendedahkan menerima banyak kiriman mesej daripada peminat yang memuji gaya tudungnya selain meminta merakam video tutorial pemakaian.
“Ramai peminat menghantar mesej peribadi dalam media sosial dan meluahkan rasa terinspirasi dengan pemakaian tudung labuh menutup bahagian dada yang saya pakai.
“Mereka sudah dapat mengenal pasti bahawa itu adalah gaya khas saya dan menganggap perkara tersebut sebagai satu tanggungjawab dan bersyukur atas sokongan yang diterima.
“Sekali lagi, saya mengucapkan terima kasih kepada Ustazah Asma Harun kerana kata-kata yang sangat bermakna itu telah mendorong untuk menjadi insan yang lebih baik,” ujarnya.
Terdahulu, Ustaz Asma memuji penampilan terbaharu Elly selain tersentuh melihat perubahan selebriti tersebut.
Menerusi perkongsiannya, dia berharap penghijrahan Elly dapat menjadi inspirasi kepada wanita lain untuk mendekatkan diri kepada agama dan tidak bertangguh dalam melakukan perubahan ke arah lebih baik. – HIBGLAM
