‘Bangga dapat tempat ketiga’ – Nubhan tak goyang diejek padan muka

PEMENANG tempat ketiga Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) Nubhan tidak melenting apabila pencapaiannya di pentas akhir itu diejek netizen kerana tidak bergelar juara.

Menurut Nubhan atau nama lengkapnya Nubhan Ahamad, 40, dia berbangga dengan pencapaiannya kerana bukan mudah untuk berada dalam kedudukan tiga teratas.

Dapat nombor tiga bukanlah padan muka untuk saya. Sasaran saya adalah untuk ke peringkat akhir. Kalau jadi juara, itu bonus.

“Untuk ke peringkat akhir sahaja pun tidak mudah. Melangkah sejauh ini juga saya sudah bangga. Untuk bertahan selama 12 minggu tanpa tersingkir itu bukan sesuatu yang mudah,” katanya ketika ditemui di sidang media konsert akhir GV12, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Nubhan turut menzahirkan rasa terharu dengan sokongan peminat yang sentiasa percaya kemampuannya sepanjang pertandingan berlangsung.

Terima kasih yang meramalkan saya sebagai juara. Alhamdulillah maksudnya mereka (peminat) percaya saya ada harapan untuk menang.

“Sokongan daripada peminat sejak minggu pertama sudah cukup untuk membuatkan saya gembira,” ujarnya.

Mengulas komen juri tetap iaitu Datuk Syafinaz Selamat yang menyifatkan Nubhan membuat pemilihan lagu yang salah untuk segmen duet bersama penyanyi jemputan, Aina Abdul menyampaikan lagu Seluruh Cinta, Nubhanakui dirinya tidak begitu menyerlah dalam menyampaikan lagu tersebut.

Kongsi Nubhan, dia mahu bersikap profesional dengan menerima apa sahaja lagu yang telah ditetapkan oleh pihak produksi.

“Saya hanya memilih lagu untuk persembahan solo. Aina seorang penyanyi yang sangat profesional. Dia sangat memberi sokongan kepada rakan duet ketika membuat persembahan.

Cuma mungkin saya kurang ‘memberi’ kerana lagu tersebut memang agak sukar. Tapi Alhamdulillah saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Aina kerana komitmen diberi.

“Saya terima saja apa-apa lagu diberikan, ia sebagai satu tanggungjawab tanpa perlu beri banyak alasan,” katanya.

Pada malam konsert akhir itu, peserta dari Singapura, Iskandar Ismail dinobat sebagai juara manakala peserta dari Indonesia, kumpulan Mendua pula meraih kedudukan naib juara.

Tempat keempat dan kelima menjadi milik Mark Adam dan Mell Sakura. manakala Ruri Republik pula sekadar berpuas hati di tempat keenam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok