‘Jangan rasa berlakon sejak kecil, kita cukup masak’

AKTRES Sweet Qismina mendedahkan dia turut melalui situasi orang ramai masih memandang dirinya sebagai pelakon cilik sama seperti dihadapi pelakon, Mia Sara Nasuha ketika ini.

Menurut Sweet, 29, masih ramai penonton yang sukar menerima hakikat pelakon cilik kini sudah dewasa sekali gus menyekat peluang untuk menggalas peranan lebih dewasa.

“Itu yang saya rasa dan mengambil masa bertahun-tahun untuk dapatkan kepercayaan orang, sehingga sekarang.

“Saya harap pihak yang masih ‘tersekat’ dalam zaman setiap pelakon sebagai pelakon cilik dapat terima mereka pada masa ini.

“Kami tak dapat nak ubah saiz dan wajah muda kanak-kanak tetapi tanpa pengalaman dan peluang melakonkan pelbagai watak, bagaimana untuk tambah baik?” katanya dalam Instagram.

Tambahnya, peluang untuk membuktikan diri mampu melakonkan pelbagai karakter perlu diberikan secara adil kepada semua pelakon termasuk mereka yang sudah berada dalam industri sejak kecil.

“Pengalaman mematangkan kita bukan? Kalau boleh bagi rezeki kepada pelakon-pelakon baru dan mereka belajar berlakon di set penggambaran, apa salahnya buat perkara sama pada mereka yang dah berlakon sejak muda.

“Percaya dan beri peluang, yang sudah berlakon sejak kecil pula perlu mula daripada kosong.

“Jadi padi, belajar dan belajar untuk jadi yang terbaik. Jangan rasa kita sudah berlakon sejak kecil, kita sudah cukup masak, tidak,” kata Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34 itu.

Dia juga menegaskan dunia lakonan sebagai pelakon cilik dan dewasa adalah dua perkara berbeza selain mendoakan Mia kuat dan berharap banyak peluang akan tiba kepadanya satu hari nanti.

“Lakonan dewasa tak sama ketika kami kanak-kanak, tidak mudah dan sampai sekarang masih kena belajar. Selebihnya, berserah pada Allah SWT.

“Saya faham apa awak rasa Mia, semoga Allah buka rezeki untuk awak dan yang lain,” ujarnya.

Terdahulu, Mia dalam satu temu bual mengakui letih apabila masih dilabel sebagai pelakon cilik meskipun usianya sudah mencecah 21 tahun.

Katanya, dia juga mengimpikan untuk melakonkan karakter berbeza dan lebih mencabar serta enggan tersekat dengan watak kanak-kanak sahaja. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok