BLACK Ops: Operasi Serigala sebuah filem yang bakal menjadi penanda aras naskhah genre aksi bagi projek berintensiti tinggi kerjasama produksi Malaysia dan Hong Kong.
Menggandingkan dua sutradara berkaliber, Syafiq Yusof serta pengarah Hong Kong, Chi-Yiu Chui, naskhah yang dijadualkan berada di pawagam akhir tahun ini turut menyaksikan kolaborasi bersejarah beberapa studio terkemuka tempatan dengan syarikat milik bintang terkemuka, Louis Koo iaitu One Cool Films.
Pengerusi Skop Productions, Datuk Yusof Haslam, menyatakan harapannya agar kerjasama ini dapat membuka peluang lebih luas kepada filem Malaysia untuk menembusi pasaran antarabangsa.
“Kejayaan sesebuah filem terletak pada kekuatan jalan cerita, lakonan yang ikhlas serta sokongan padu daripada penonton.
Usahasama bijak membabitkan produksi dua negara ini diharap dapat diperluaskan selain menjadi platform untuk membawa naskhah tempatan ke peringkat global,” katanya kepada HibGlam pada pelancaran filem itu, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah One Cool Films, Tang Wai But, menyifatkan kerjasama ini sebagai permulaan kepada hubungan jangka panjang antara industri perfileman Hong Kong dan Malaysia.

SYAFIQ diberi tanggungjawab sebagai pengarah bersama Black Ops: Operasi Serigala bersama sutradara Hong Kong, Chi-Yiu Chui. – SADDAM YUSOFF
Kerjasama tersebut juga disifatkan Astro Shaw sebagai yang terbesar seumpamanya dalam industri filem Malaysia yang turut melibatkan Komet Studios dan GSC.
Luaskan sinematik lokal
Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, projek ini mengukuhkan hubungan strategik bersama Skop Productions sekali gus langkah penting dalam memperluaskan pengaruh sinema Malaysia.
Projek ini turut menjadi mercu tanda penting buat kami semua kerana merupakan kerjasama sulung dan mencerminkan hubungan kreatif yang semakin kukuh antara industri perfileman kedua-dua negara,” ujarnya.
Black Ops: Operasi Serigala mengisahkan Johan, seorang ejen berpengalaman dalam pasukan elit rahsia kerajaan.
Kehidupannya berubah secara drastik apabila isterinya dibunuh dengan kejam dan anak perempuannya diculik, sementara Johan pula difitnah sebagai suspek utama.
Diburu pihak berkuasa dan bekas rakan sepasukannya sendiri, Johan terpaksa merungkai konspirasi gelap dari dalam sambil berlumba dengan masa untuk menyelamatkan anaknya.
Filem ini menghimpunkan barisan pelakon mantap yang menggabungkan bakat tempatan dan pelakon terkenal Hong Kong.
Antaranya ialah Sharnaaz Ahmad yang mencuri perhatian menerusi filem Blood Brothers: Bara Naga sebagai Johan.
Turut membintangi filem ini ialah Datuk Aaron Aziz sebagai Komander Khabir, Hisyam Hamid, Andy Teh serta pelakon drama Hong Kong, Benjamin Yuen.
Barisan pelakon turut dimeriahkan dengan kehadiran Fauzi Nawawi, Elizabeth Tan, Anding Indrawani serta bakat muda, Rania Amanda.
Menjanjikan pengalaman sinematik yang mendebarkan, Black Ops: Operasi Serigala dijangka menampilkan gabungan pelbagai seni mempertahankan diri serta adegan aksi yang penuh mendebarkan.
Kerja penggambaran sudah berlangsung selama sebulan yang dijangka selesai 50 hari lagi seterusnya dijadualkan ditayangkan pada penghujung tahun 2026. – HIBGLAM
