‘Kalau hidup terlebih sensitif sangat, sebab itu sekarang ramai generasi ‘strawberi’’

PENYANYI merangkap juri tetap Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), Datuk Syafinaz Selamat menyifatkan manusia zaman sekarang terlebih sensitif dan sukar menerima komen dan teguran.

Syafinaz berkata demikian susulan komennya terhadap peserta GV12 iaitu Nubhan tentang persembahannya minggu lalu yang dikatakan berkait rapat dengan kisah rumah tangganya.

Nubhan menyampaikan lagu Niat Hati Tak Nak Berpisah daripada kumpulan Arrow dengan penuh perasaan sehingga Syafinaz bertanya sama ada kisah peribadinya mendorong kepada penghayatannya yang begitu mendalam.

“Bila saya sentuh sesuatu perkara bukan sebab saya suka-suka atau nak menghina. Saya selalu cakap bila kita nak menyanyi, kita cuba untuk kaitkan kisah kita dengan lirik lagu tersebut. Itu akan memberi kita nyawa.

“Sebenarnya saya nak beri pujian pada Nubhan sebab dia dapat menyampaikan lagu itu dengan baik. Emosi dia bersatu dengan lagu itu. Sebab itu saya tanya dia adakah persembahannya berdasarkan kisah benar hidupnya di mana pada saya bukan menjadi satu masalah.

“Manusia zaman sekarang jangan terlebih sensitif boleh tak! Kalau hidup kita terlebih sensitif sangat, sebab itulah sekarang ramai generasi ‘strawberi’. Hidup ini keras. Kamu perlu laluinya. Kalau semua tak boleh, susahlah nak hidup,” katanya kepada HibGlam.

Tujuh minggu menjurikan GV12, Syafinaz juga tidak terlepas daripada kecaman netizen yang menuduhnya sebagai pilih kasih apabila memberikan markah yang rendah kepada peserta dari Singapura iaitu Iskandar Ismail pada minggu keenam. Malah ada yang mendakwa juri tidak mahu peserta dari Singapura menjadi juara.

“Tidak adil untuk berkata begitu kerana sebelum ini sudah ada dua penyanyi dari Singapura yang menjadi juara iaitu Hady Mirza dan Aliff Aziz. Datuk Ramli MS sendiri orang Singapura. Jadi tiada isu tentang kenegaraan di sini.

“Setiap peserta boleh berada di kedudukan ke berapa sekalipun berdasarkan persembahan mereka. Bukannya dia dapat nombor tujuh setiap minggu. Dia pernah dapat nombor satu beberapa kali.

“Kita jangan sempitkan otak kita. Dalam pertandingan ini kita kena terbuka. Jangan anggap orang nak menjatuhkan. Sebagai juri kita tak mahu jatuhkan sesiapa. Kita mahu mereka memberikan yang terbaik.

“Memang susah nak puaskan hati semua orang. Tahun lalu orang berkata asyik-asyik Liza Aziz nombor satu. Tetapi siapa yang terbaik, dialah yang berada di atas,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok